Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Inisiatif Selangor Freelance anjuran Permodalan Nasional Selangor Berhad di Wyndham Acmar Hotel, Klang pada 28 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB pelawa individu 18 tahun ke atas sertai Selangor Freelance

SHAH ALAM, 8 NOV: Dato’ Menteri Besar mempelawa individu berusia 18 tahun ke atas di negeri ini menyertai program Selangor Freelance bagi menjana pendapatan dalam sektor ekonomi digital.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad dengan platform Workana menawarkan 5,000 peluang latihan untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran pekerjaan.

“Dalam era pandemik Covid-19, ekonomi gig (sampingan) muncul sebagai peluang baru pekerjaan yang terbina dari pasaran membangun dalam segmen digital.

“Maka, inisiatif dimulakan Kerajaan Negeri ini mampu memberi manfaat kepada warga Selangor serta berpeluang menjana pendapatan menerusi program pengupayaan yang holistik,” tulisnya di Twitter hari ini.

Dilancarkan pada 28 Oktober lalu, peserta Selangor Freelance akan dilatih untuk memanfaatkan kerja sebagai pekerja bebas serta cara menggunakan platform Workana selama dua hari.

Mereka juga akan menerima RM400 daripada Kerajaan Negeri sebaik tamat mengikuti latihan tersebut selain berpeluang memohon pekerjaan bebas digital menerusi platform berkenaan.

Individu yang sudah bekerja atau belum boleh membuat permohonan melalui http://selangor.workana.com.

Pada 20 Januari, Amirudin berkata inisiatif Selangor Freelance bakal mencipta lebih 1,000 peluang pekerjaan dan membantu golongan terjejas berikutan pandemik Covid-19.

Beliau memaklumkan pelaksanaan inisiatif berkenaan disegerakan bagi menyerap hentakan ekonomi dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Selangor Freelance disenaraikan bawah program pendigitalan dalam Belanjawan Negeri 2021 dengan perbelanjaan RM369 juta melalui dana negeri dan anak syarikat (GLC).


Pengarang :