Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, bercakap kepada media ketika lawatan persiapan sambutan Deepavali di Little India, Klang pada 2 November 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MB: Penukaran nama Padang Chetty tidak jejas nilai sejarah

KLANG, 2 NOV: Penukaran nama Padang Chetty kepada Dataran Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak menjejaskan nilai sejarah kawasan berkenaan, kata Dato’Menteri Besar.

Sebaliknya, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keunikan lokasi itu lebih wajar diketengahkan bagi menarik kehadiran pelancong.

“Klang adalah sebahagian daripada warisan penting Selangor dan warisan itu dilihat sebagai tarikan kepada pelancong. Justeru, ia perlu diangkat dalam konteks warisan, bukan hanya pada nama.

“Sejarah di situ lebih besar…tetapi (nama) Padang Chetty itu kita tidak lupa, ia akan memberi manfaat besar kepada semua pihak dan mengurangkan hal sensitif yang cuba dibangkitkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan Deepavali di Little India Klang dekat Jalan Tengku Kelana di sini hari ini.

Pada 2 Jun lalu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) berkata penjenamaan semula nama Padang Chetty kepada Dataran Majlis Perbandaran Klang mendapat perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata lokasi Padang Chetty telah disenarai sebagai sebahagian daripada kawasan Program Jejak Warisan Klang selain menjadi lokai titik permulaan bagi pelaksanaan Royal Klang Town Heritage Walk.

Sebelum itu, Ketua Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Klang Nallan Dhanabalan menggesa Kerajaan Negeri mengekalkan nama Padang Chetty bagi memelihara nilai sejarah negeri ini.

Menurutnya, isu penukaran nama itu berlarutan sejak sekian lama dan perlu diberi perhatian memandangkan nama padang berkenaan telah digunakan sejak 100 tahun lalu.


Pengarang :