Dato’ Seri Amirudin Shari ditemani isteri Datin Seri Masdiana Muhamad memberi duit raya kepada kanak-kanak ketika melawat persiapan sambutan Deepavali di Little India, Klang pada 2 November 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB pesan jangan lalai, patuhi SOP elak PKP semula

SHAH ALAM, 3 NOV: Masyarakat diingatkan tidak alpa dan terus mengamalkan kawalan kendiri bagi mengelakkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa semula.

Dato’ Menteri Besar berkata orang ramai perlu bertanggungjawab dengan sentiasa memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman dan menjaga jarak fizikal sebaik mungkin.

“Dengan keterbukaan dan kesedaran anda melindungi diri dan keluarga dengan mengambil dos vaksin yang lengkap, kita melihat sedikit cahaya muncul apabila aktiviti ekonomi serta sosial dibuka.

“Rakyat juga boleh merentas daerah dan negeri untuk mengunjungi keluarga dan kawan-kawan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam perutusan sempena Deepavali hari ini.

Beliau berkata Deepavali disambut meriah kerana ia membawa maksud pengakhiran kegelapan dan permulaan masa hadapan yang cerah serta kebaikan mengalahkan kegelapan.

Jelasnya, erti perayaan itu seakan situasi yang dihadapi negara kini setelah hampir dua tahun hidup dalam kegelapan berpunca daripada penularan wabak Covid-19.

“Kita semua berbesar hati dan dapat menghela nafas lega kerana Deepavali kali ini diraikan dengan keluarga dan kawan-kawan tersayang setelah bergelut dengan PKP hampir dua tahun,” katanya lagi.


Pengarang :