Selangorkini
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama pelajar selepas sesi dialog bersama pimpinan mahasiswa Selangor di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 29 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Selangor bakal tubuh unit baharu libat mahasiswa

KLANG, 30 NOV: Kerajaan Selangor mahu menubuhkan satu unit baharu dengan penglibatan mahasiswa untuk mengkaji dasar negeri mulai tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Mekanisme itu bagi mempersiapkan golongan berkenaan ke pasaran pekerjaan dengan menjalani latihan industri di samping memberi pendedahan berhubung fungsi, sektor dan bidang.

“Jika di persekutuan ada Khazanah Nasional, di peringkat Kerajaan Selangor kita sedang menubuhkan satu unit ini untuk mengkaji dasar, maklum balas dan masa depan negeri dengan penglibatan mahasiswa.

“Saya percaya dengan pengalaman dan bakat yang ada dalam diri mahasiswa ini kita boleh tarik dan menempatkan mereka di anak syarikat (Kerajaan Negeri) sekali gus meningkatkan kebolehpasaran,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika Program Dialog Dato’ Menteri Besar Bersama Pimpinan Mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi Negeri Selangor di Hotel Wyndham Acmar di sini malam tadi.

Amirudin turut mengalu-alukan kesatuan mahasiswa untuk mencadangkan kepimpinan mereka yang layak bagi mengikuti program tersebut.

“Kita ingin memberi ruang kepada mereka dan pada masa sama mahu mencari bakat baharu yang berkualiti untuk kerja dengan Kerajaan Negeri disamping terokai perkara baharu,” katanya.

Terdahulu, program dialog anjuran Kerajaan Negeri itu membabitkan penyertaan 17 institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh Selangor dengan kehadiran 150 pimpinan mahasiswa.

Program dialog yang berlangsung hampir satu jam itu bertujuan mewujudkan jaringan kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan pimpinan mahasiswa di seluruh Selangor.

Program itu juga merupakan usaha Kerajaan Negeri bagi memberi pendedahan kepada golongan pelajar dalam aspek kepimpinan dan jaringan komuniti termasuk sumbangan mahasiswa ke arah pembangunan negeri pintar menjelang 2025.

Antara institusi terlibat adalah Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Selangor dan Universiti Teknologi MARA.


Pengarang :