Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong (dua, kiri) ketika mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada 22 Nov 2021. Foto Facebook Wee Ka Siong
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB temui menteri pengangkutan, bincang isu ECRL

SHAH ALAM, 23 NOV: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bertemu menteri pengangkutan semalam bagi membincangkan isu projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta perkara lain yang penting kepada Selangor.

Datuk Seri Wee Ka Siong berkata pihaknya berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan sekaligus memberi manfaat kepada negara.

“Pihak kami juga akan memperolehi maklumat lanjut tidak lama lagi apabila kami dapat meneliti dan menyelesaikan kebimbangan yang timbul berhubung projek ini.

“Dalam masa sama, kedua-dua pihak bersetuju mesyuarat hari ini merupakan petanda baik ke arah kerjasama yang lebih erat antara kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam aspek infrastruktur,” katanya di Facebook.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd Dato’ Sri Darwis Abdul Razak.

Awal bulan lalu, Amirudin berkata keputusan jajaran projek ECRL di Selangor diputuskan hujung tahun ini dan ketika ini pihaknya menjalankan proses terakhir sebelum mengadakan perbincangan bersama kerajaan persekutuan.

Pada Oktober beliau menegaskan Selangor kekal dengan pendirian memilih jajaran selatan bagi projek ECRL yang melibatkan Hulu Langat, Sepang dan Pelabuhan Barat.

Keputusan itu mengambil kira penjimatan kos, tidak menjejaskan banyak penempatan dan memelihara kawasan hutan simpan serta tadahan air.


Pengarang :