Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Negeri dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) dan Siemens Selangor di Hotel Le Meridien, Putrajaya pada 1 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB yakin pengalaman luas Haris bantu lancar pentadbiran negeri

PUTRAJAYA,1 NOV: Dato’ Menteri Besar yakin pelantikan Dato’ Haris Kasim sebagai setiausaha Kerajaan Negeri berkuat kuasa hari ini membantu melancarkan pentadbiran.

Berpengalaman lebih 20 tahun dalam pelbagai agensi, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Haris memberi khidmat terbaik sehingga jawatan terakhirnya sebagai pegawai kewangan negeri.

“Saya berharap beliau mampu meneruskan kerjasama erat dan agenda memajukan Selangor,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri, Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor dan Siemens Malaysia di sini hari ini.

Haris menggantikan Dato’ Nor Azmie Diron.

Sementara itu, Haris berkata fokusnya adalah memulihkan Selangor daripada pandemik Covid-19 yang dibuat menerusi beberapa strategi termasuk dalam Belanjawan Negeri 2022.

Jelasnya, pembentangan belanjawan oleh Dato’ Menteri Besar memerlukan komitmen pelbagai pihak bagi memastikan keberkesanannya untuk membantu segenap lapisan masyarakat.

“Saya menganggap pelantikan ini amanah dan banyak perlu dilakukan kerana Selangor bukan negeri kecil. Saya akan bekerjasama dengan semua pegawai supaya hasrat dan wawasan digariskan dapat diteruskan,” katanya.


Pengarang :