Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
PBTSELANGOR

MBSA tawar diskaun kompaun hingga 70 peratus bulan depan

SHAH ALAM, 22 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan pengurangan kompaun kesalahan tempat letak kereta RM10 sepanjang Disember depan.

Majlis berkata inisiatif menerusi Kempen Pengurangan Kompaun RM10 membantu dan menggalakkan orang kena kompaun (OKK) menyelesaikan denda sebelum tindakan tegas dikenakan seperti sekatan urusniaga serta mahkamah.

“MBSA turut tawarkan pengurangan kompaun sehingga 70 peratus untuk kesalahan bawah Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983, Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005 dan Undang-Undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005.

“Tawaran juga untuk kesalahan mengikut Undang-undang Kecil MBSA 2007 meliputi establisyemen makanan, pengendali makanan, iklan, penjaja, pasar dan perintah pengangkutan jalan,” katanya menerusi kenyataan.

Bayaran boleh dibuat di kaunter utama dan pandu lalu Wisma MBSA di Seksyen 14 atau pejabat cawangan Sungai Buloh, Kota Kemuning dan Setia Alam.

“Untuk kompaun tempat letak kereta, bayaran boleh dibuat menerusi JomPAY, SnapNPay, Maybank2U dan kaunter Bank Muamalat.

“Orang ramai dinasihatkan memanfaatkan peluang ini menyelesaikan kompaun masing-masing,” katanya.


Pengarang :