Selangorkini
BUDAYA RENCANA

Menjadi fetus semula

Oleh Haniff Yusoff

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

 

SESI makan malam yang sepatutnya menjadi medan waktu yang begitu membahagiakan telah beralih kepada fragmen yang menyedihkan [atau menakutkan] kerana saya akan ditelan semula oleh ibu. Saya tidak pasti sama ada ini adalah jalan yang terbaik buat masa ini ataupun sebaliknya. Saya pasti akan merindui hidangan tomyam yang dipesan dari sempadan juga nasi kandar yang begitu masyhur di negeri sebelah utara. Ayah saya seorang wakil rakyat, dalam pendefinisian sebenarnya-ayah merupakan entiti yang akan mendahului sekelompok masyarakat dalam segala perlakuan. Jangan tersilap, ayah saya hanya wakil rakyat, bukan seorang menteri. Oleh kerana kuasa yang dimilikinya, dapatlah dia memanjangkan kakinya melangkahi persempadanan daerah, mahupun negeri. Begitulah penjelasannya apabila saya bertanya tentang sekatan jalan raya.

Wabak semakin menular, menjelajah di setiap pojok dan paksi. Sesungguhnya semakin mengepung wilayah kami, wilayah tercinta ini. Sebegitulah dikhabarkan pembaca berita yang berada dalam kotak televisyen menerusi siaran berita pada waktu perdana. Petiakanlah, laporan mengenai wabak yang kian membuas menjadi berita utama dalam setiap siaran televisyen, di corong-corong radio, di pangkalan portal-portal berita dan juga dalam helaian surat-surat khabar pelbagai bahasa.

Kata ayah, kami perlu melakukan persediaan menangani wabak ini, wabak bahaya yang sudah membunuh jutaan manusia di dunia. Wabak ini akan membataskan kami dari keluar daripada kawasan perumahan kami waima wilayah ini sekalipun atau mungkin memenjarakan kami daripada menjalani kehidupan seperti biasa. Kata ibu pula, telah tiba pada suatu titik masa, zaman ini ialah zaman yang diperintah oleh wabak. Ah, saya menjadi teruja tiba-tiba. Pelbagai andaian yang melingkari pemikiran. Apakah wabak ini akan memungkinkan kita menyaksikan sebuah perbalahan seperti dalam kisah-kisah fiksyen dan kita juga akan melihat adiwira kita membuka langkah menentang penjarah dengan penuh magis? Saya beranggapan penuh imaginasi.

“Wilayah kita semakin tidak selamat. Dalam beberapa jam sahaja lagi mungkin virus itu akan mengetuk pintu rumah kita,” ayah berpendapat.

“Kehidupan akan menjadi sesuatu yang amat membosankan apabila kita terpaksa berkurung sahaja dalam rumah,” ibu pula seolah-olah mengeluh.

Apabila ibu menamatkan kata-katanya dan saya menangkap perkataan ‘bosan’ yang diujarkan, imaginasi saya yang sebelumnya tergantung di biru langit, jatuh berderai di lantai ruang tamu rumah kami. Saya fikir wabak ini akan mengubah rutin harian saya sebagai seorang pelapis pemimpin negara. Sudah tentunya wabak ini akan mematikan segala kreativiti saya untuk menyantuni alam, malah membantutkan proses kematangan mentafsir segala kejadian.

“Han, ayah dan ibu telah membuat keputusan demi kesejahteraan bersama bagi menempuh zaman dicengkam wabak,” ayah bersuara tegas. Saya tahu ayah sebagai wakil rakyat telah membuat keputusan secara rasional. Saya menaruh percaya sangat-sangat.

“Han akan ditelan oleh ibu, dan hiduplah dalam kandungan ibu semula seperti pernah Han lalui beberapa tahun dahulu.”

Malam itu, saya memejamkan mata, sebelum ibu menganga seluasnya, lalu menelan saya perlahan-lahan sehinggalah saya menjadi fetus semula dan berada dalam kandungan ibu. Saya dapat mendengar suara bahagia ibu. Ibu seolah-olah begitu gembira setelah saya menjadi fetus semula. Mungkin ibu begitu bimbang akan keselamatan saya memandangkan penularan wabak yang tidak terbendung lagi di wilayah kami.

Menjadi fetus semula merupakan pentafsiran saya kembali kepada sejarah. Sejarah yang menumbuhkan sesiapa sahaja di dalam dunia. Sejarah yang menjadi dasar permulaan segala-galanya. Sepertinya diri kita sendiri juga adalah sebahagian daripada sejarah hatta tak terpisahkan walaupun dengan satu garisan. Saya kembali menekuni naratif-naratif agung bangsa yang kaya dengan kearifan tempatan serta keluhuran budi bangsa. Saya fikir menjadi fetus semula adalah suatu nikmat kebahagiaan. Sungguh, saya tidak menafikan. Setiap detik begitu bermakna apabila saya hidup berteman mesra dengan watak-watak tradisi. Saya tidak seperti rakan sebaya yang lainnya, yang terpaksa bergelumang dengan kepayahan menghadapi sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah.

Saya mengheret pengamatan selama pandemik yang mengekang. Proses pembelajaran menjadi tidak menentu apabila menghadirkan diri ke sekolah bukan lagi pilihan yang selamat. Guru-guru terpaksa bertungkus-lumus untuk memastikan anak-anak murid tidak ketinggalan biarpun dihimpit tekanan yang datang dari pelbagai arah. Saya teringatkan Naim, sahabat saya yang berasal dari keluarga yang sederhana taraf ekonominya, tiada telefon bimbit pintar seperti saya, apatah lagi memiliki komputer riba. Tentunya sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah mendatangkan kegusaran padanya, apatah lagi Naim seorang anak yang baik, yang tidak mahu menyusahkan orang tuanya. Menyedari libang-libu hati dan pemikirannya melalui telepati, saya hadiahkannya sebuah komputer riba dengan harapan kecerdikannya terus lestari, tidak terbazirkan.

Perhitungan demi perhitungan yang saya catatkan, saya maklumi tarikh saya dilahirkan semakin hampir. Ibu juga dengan segala persiapan telah bersedia untuk menyambut kelahiran saya, dan seorang bidan peranakan istimewa telah dijemput oleh ayah untuk memeriksa kandungan ibu-memeriksa keadaan saya yang menjadi fetus semula.

“Datin, anak dalam kandungan ini janganlah dilahirkan.”

“Maksud Nenek Bidan?”

“Maksud saya, biarlah anak dalam kandungan ini menjadi fetus selamanya. Datin pernah dengar kisah kebijaksanaan seorang budak yang mengusul batang pohon pisang sebagai benteng tujahan todak?”

“Tidak pernah pula saya dengar.”

“Maklumlah, kisah ini dari lamanya masa, ketika Nenek Bidan masih kecil lagi. Ketika itu, kawasan perairan di selatan tanah air telah diserang todak yang berlaksa-laksa. Pada awalnya, pemerintah ketika itu mengutus pemuda berkubukan betis masing-masing, namun kesemuanya mati tanpa sempat mengecap nikmat dunia. Kasihan. Lalu, muncul seorang anak kecil mengusulkan betis digantikan batang pohon pisang, dan ternyata menghindari kematian dan permasalahan mayat bergelimpangan di persisir pantai. Namun, pembesar berpendapat kebijaksanaannya mampu menggugat kedudukan pemerintah ketika itu, lalu dijatuhi hukuman ekspansi menurut Intertekstualiti dengan dihantar ke masa hadapan.

“Lalu, apakah keterlibatan kisah yang terlalu renta itu dengan anak dalam kandungan saya?”

“Berdasarkan tilikan dan renungan panjang, anak dalam kandungan datin ini merupakan entiti kebijaksanaan yang akan menuntut keadilan terhadap generasinya akan kekhilafan serta pendustaan oleh susur galur keturunan sebelumnya.”

“Sungguhkah? Kalau sebegitu Nenek Bidan mengungkapkan, saya rela tidak melahirkan, biarlah Han menjadi fetus selamanya.”

***

Dan sebegitu lama dalam kandungan, saya dilahirkan melalui rahim kebenaran. Saya dilahirkan di sebuah negeri yang akan dilanggar todak tidak lama lagi!

 

 

 


Pengarang :