Michael Feichtenbeiner dilantik sebagai ketua jurulatih Selangor FC yang baharu. Foto Facebook Selangor FC
BERITA UTAMASELANGOR

Michael Feichtenbeiner bukan nama asing dalam Liga M

SHAH ALAM, 21 NOV: Michael Feichtenbeiner yang diumum sebagai ketua jurulatih Selangor FC bukan nama asing dalam Liga Malaysia (Liga M).

Pengendali berusia 61 tahun dari Stuttgart, Jerman ini pernah menjadi ketua jurulatih pasukan MPPJ FC pada 2005 hingga 2006.

Semakan SelangorKini di sesawang transfermarkt.com mendapati Feichtenbeiner memulakan karier sebagai jurulatih remaja VfB Stuttgart pada 1983 sebelum menyertai kelab Switzerland BSC Old Boys Basel sebagai ketua jurulatih pada 1989.

Beliau kemudian berhijrah ke beberapa kelab lain di Jerman seperti Stuttgarter Kickers (1992), TSF Ditzingen (1993), KFC Uerdingen 05 (1997), SC Pfullendorf (1998), SV Darmstadt 98 (2000), Rot-Weiß Erfurt (2002) dan Sportfreunde Siegen (2003).

Antara pencapaian terbaik beliau termasuklah mara ke separuh akhir Piala DFB pada saingan 1999/2000 di mana kelab divisyen dua, Stuttgarter Kickers mengalahkan tiga kelab Bundesliga iaitu Borrusia Dortmund, Arminia Bielefeld dan SC Freiburg.

Feichtenbeiner juga pernah menjadi ketua jurulatih untuk pasukan bawah 15, 16 dan 17 tahun kebangsaan Jerman dari 20015 hingga 2019.

Beliau kemudian berhijrah ke Selangor FC dilantik sebagai pengarah sukan pada 2019 serta menggalas jawatan ketua jurulatih Selangor FC II.

Pada musim lalu Feichtenbeiner dilantik sebagai ketua jurulatih sementara Selangor FC selepas B Sathianathan dipecat.


Pengarang :