Nur Faralia Mohammad Hafiz, 34, menggunakan mesin jahit yang diterima dari program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Daerah Hulu Langat di kuarters Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Bangi pada 11 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Miliki mesin jahit tepi dengan bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan

BANGI, 11 NOV: Impian seorang tukang jahit untuk memiliki sebuah mesin jahit tepi tercapai apabila permohonan menerusi program Blueprint Pembasmian Kemiskinan diluluskan.

Nur Faralia Mohammad Hafiz,34, beliau memohon bantuan itu tahun lalu apabila melihat perkongsian program berkenaan di laman sosial Facebook.

“Saya menerima panggilan selepas sebulan dan diluluskan dua bulan berikutnya. Saya bersyukur kerana mesin jahit tepi ini memudahkan urusan menjahit kerana tidak perlu pergi ke kedai.

“Apabila hantar ke kedai saya perlu menunggu selama dua hari dan membayar lebih RM100 bergantung kepada jumlah kain langsir yang dihantar,”katanya kepada SelangorKini.

Tambah ibu kepada tiga anak itu, pendapatannya juga bertambah selepas menerima bantuan mesin berkenaan.

“Ketika pandemik, pendapatan diperoleh RM1,500 tetapi kini bertambah kepada RM3,000 sebulan.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang mewujudkan inisiatif ini yang membantu rakyat. Saya galakkan lebih ramai usahawan memohonnya terutama ketika musim pandemik Covid-19,”katanya.

Terdahulu, beliau dikunjungi EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau dalam program penyerahan sumbangan Blueprint Pembasmian Kemiskinan di Kuarters Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat hari ini.

Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor sejak 2008 memberi peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Program itu membabitkan golongan miskin dan berpendapatan rendah yang mempunyai kemahiran untuk meneruskan perusahaan dalam bidang seperti jahitan, perniagaan runcit, perniagaan makanan, pengasuh kanak-kanak, perusahaan kecil dan kraftangan.


Pengarang :