Petugas kesihatan Selvax memberi suntikan pelalian kepada penerima vaksin ketika Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada 26 September 2021. Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MMA puji kesungguhan Selangor laksana inisiatif kesihatan bendung Covid-19

Oleh Alang Bendahara

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Selangor melakukan usaha terbaik dalam melaksana beberapa inisiatif kesihatan sepanjang pandemik Covid-19 melanda, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya Dr Koh Kar Chai berkata negeri itu meletakkan penanda aras terbaik bagi dicontohi negeri lain.

“Kesungguhan Selangor ketika pandemik satu inisiatif yang bagus kerana ketika ia dilaksanakan negara ini sedang dalam keadaan sukar menguruskan pandemik.

“Pentadbiran Kerajaan Negeri melaksanakan tugas yang cemerlang dalam menjayakan program kerana ia membangkitkan kesedaran orang ramai tentang keperluan setiap negeri untuk bertindak lebih proaktif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Persidangan Kesihatan Antarabangsa Selangor (SIHC) 2021 di sini hari ini.

Dr Kar Chai turut memuji Selangor atas kegigihan meneruskan inisiatifnya walaupun berdepan masalah dengan program kesihatan negara.

“Dalam jangka panjang, kita semua harus diasimilasikan dalam program kebangsaan di mana semua orang akan dapat memanfaatkan kepakaran dan sumber setiap negeri,” katanya.

Antara inisiatif kesihatan membendung pandemik Covid-19 dijayakan Selangor termasuk program Vaksin Selangor (Selvax), aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan kit ujian kendiri Covid-19 percuma kepada penduduknya.

Sementara itu, mengenai Belanjawan Selangor 2022 (#Selangor2022) yang akan dibentangkan pada 26 November, Dr Kar Chai mencadangkan supaya negeri itu memasukkan rancangan untuk menambahbaik akses kepada penjagaan kesihatan dan meningkatkan kualitinya.

Beliau berkata masih terdapat ruang penambahbaikan penjagaan kesihatan di Selangor, antaranya bagi capaian program vaksinasi di kawasan luar bandar.

“Ini adalah dua aspek yang perlu ditumpukan dalam belanjawan, termasuk latihan bagi kakitangan perubatan sokongan dan infrastruktur yang mencukupi,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan ucaptama bertajuk Penjagaan Kesihatan Berkesan Untuk Populasi Menua.

SIHC 2021 yang julung kali diadakan dianjurkan bersama InfoMed, salah satu penerbit majalah perubatan paling terkemuka.

SIHC dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Medic) diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS 2021), yang berlangsung secara fizikal di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dan secara maya melalui www.selangorbusinesshub.my.


Pengarang :