Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Sselangor Mohd Hasry Nor Mohd (tiga dari kiri) bergambar bersama Pengerusi Mr DIY Dato Azlam Shah Alias (tiga dari kanan) di papan tanda Selamat Datang ke Sungai Kedondong pada 23 November 2021. Foto Facebook MPHS
PBTSELANGOR

MPHS, Mr DIY kerjasama bersih Sungai Kedondong

SHAH ALAM, 24 NOV: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan syarikat Mr DIY Trading Sdn Bhd bekerjasama menerusi program tanggungjawab sosial korporat membersihkan Sungai Kedondong, Batang Kali.

Yang Dipertua MPHS Mohd Hasry Nor Mohd berkata program yang dianjurkan semalam bertujuan mengembalikan semula keceriaan sungai terbabit di samping membersihkan pembuangan sisa yang ditinggalkan pengunjung.

“Terima kasih kepada pihak Mr DIY yang sudi berkolaborasi dengan MPHS menjayakan projek ini dan bersama ke arah mencapai matlamat pembangunan mampan.

“Masyarakat diingatkan menjaga alam semula jadi ketika berada di kawasan ini di samping amalkan bawa pulang sisa supaya kejadian kencing tikus dan denggi dapat dielak,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Seramai 80 sukarelawan terdiri daripada kakitangan MPHS, Mr DIY, Jabatan Pengairan dan Saliran, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Perhutanan Daerah dan Jabatan Kebajikan Orang Asli terlibat dalam program itu.

Sebanyak 300 kilogram anggaran berat timbangan sisa sampah yang berjaya dikutip terdiri daripada sisa plastik, botol dan pakaian.

Selain itu, turut diadakan aktiviti plogging, baik pulih wakaf dan mengecat bangunan.

Yang Dipertua MDHS, Mohd Hasry Nor Mohd menyerahkan cenderahati kepada Ketua Pegawai Eksekutif Mr DIY, Adrian Ong

 


Pengarang :