Pengguna Bas Smart Selangor mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal sebelum menaiki pengangkutan awam itu di hentian bas Seksyen 13, Shah Alam pada 5 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

MPK teliti laluan baharu Bas Smart Selangor di Pandamaran, Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 30 NOV: Majlis Perbandaran Klang (MPK) perlu meneliti beberapa perkara sebelum memperluas perkhidmatan Bas Smart Selangor ke kawasan Pandamaran dan Pelabuhan Klang.

EXCO pengangkutan awam berkata kekerapan penumpang menggunakan perkhidmatan dan kos penyelenggaraan perlu diperhalusi memandangkan ia dibiaya sepenuhnya pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Berdasarkan kajian MPK mengenai laluan sedia ada dari semasa ke semasa bergantung kepada penggunaannya seperti jumlah hentian dan bas perlu disediakan dan jarak laluan.

“(Ia termasuk) kekerapan jumlah perkhidmatan setiap jam perjalanan dan jangkaan kekerapan penumpang,” kata Ng Sze Han dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Pandamaran Tony Leong Tuck Chee berhubung bila perkhidmatan Bas Smart Selangor akan memasuki kedua-dua kawasan terbabit.

Sze Han berkata ketika ini, laluan sedia ada melibatkan kawasan Pelabuhan Klang adalah laluan KLG1 yang beroperasi dari Bandar Klang sehingga Kompleks Sukan Pandamaran.

Jelasnya, perkhidmatan itu tidak boleh memasuki laluan ditentukan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengikut zon kepada operasi bas sedia ada.

“Keperluan bas awam atau bas henti-henti adalah di bawah tanggungjawab APAD. Bas Smart Selangor disediakan hanya menampung kekosongan laluan dengan mengutamakan laluan sosial tidak dilalui bas sedia ada selain perlu mendapat kelulusan APAD,” katanya.

 


Pengarang :