Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Najmuddin Jemain berucap ketika majlis Penyampaian Hadiah Kempen Bayar & Menang Cukai Taksiran MPKj di Dewan Seri Cempaka, Kajang pada 1 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPKj cadang naikkan cukai taksiran pada 2023

KAJANG, 1 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bercadang menaikkan kadar cukai taksiran pada 2023.

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata kadar kenaikan dicadangkan adalah tidak melebihi RM20 untuk penduduk yang tidak membuat pengubahsuaian kediaman.

“Buat masa ini, cukai taksiran dikenakan tidak pernah dinilai sejak 1986. Perbincangan bersama Kerajaan Negeri diwakili EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han telah dijalankan tiga minggu lalu.

“Antara dicadangkan ialah semakan dilakukan tahun hadapan dan kenaikan pada 2023 tetapi semuanya tertakluk kepada hasil perbincangan serta arahan lanjut Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Bayar dan Menang Cukai Taksiran MPKj 2021 di Dewan Seri Cempaka Saujana Impian di sini hari ini.

Najmuddin menjelaskan, kenaikan cukai taksiran itu amat membantu dalam pengurusan dan pentadbiran MPKj.

“Walaupun kadar cukai taksiran mengikut 1986, kita cuba sediakan perkhidmatan mengikut tahap 2000.

“Ini yang cuba disampaikan kepada penduduk walaupun peruntukan hasil tidak seperti diharapkan, kita tetap berusaha memberikan yang terbaik,” katanya.


Pengarang :