Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Rahilah Rahmat (kanan) menerima cek cura disampaikan Pengurus Besar LBS Foundation (LBSF) Amal Abdul Aziz. Foto Facebook MPKS
PBT SELANGOR

MPKS: Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan terima sumbangan korporat beli sampan

SHAH ALAM, 13 NOV: Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan menerima sumbangan RM45,000 daripada LBS Foundation (LBSF) bagi pembelian sampan.

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) memaklumkan sebanyak 10 sampan akan dibeli dan diserahkan kepada pendayung di santuari kendaliannya itu bagi tujuan pelancongan.

“Sumbangan ini dapat melengkapkan wajah dan imej baharu santuari tersebut yang selesai dinaiktaraf sekali gus menjadi pilihan utama kepada pelancong untuk menikmati panorama cahaya indah kelip-kelip.

“Ia dapat meringankan beban kumpulan pendayung yang terjejas sepanjang tempoh pandemik Covid-19. Dengan pengoperasian semula bermula Oktober lalu ia menjana semula pendapatan pendayung dan ekonomi penduduk setempat,” katanya menerusi Facebook.

Sumbangan itu disampaikan Pengurus Besar LBSF, Amal Abdul Aziz kepada Yang Dipertua MPKS, Rahilah Rahmat.

Katanya, sokongan dari sektor korporat seperti LBSF sebagai rakan strategik MPKS dapat membantu dalam pembangunan yang turut meliputi kebajikan, pendidikan dan kemudahan lebih baik di santuari berkenaan.

Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan yang ditutup sejak Julai tahun lalu beroperasi semula pada 9 Oktober.

Rahilah berkata pembukaan semula itu susulan kerja menaik taraf telah siap dilaksanakan pada 19 September lalu.

“Kita telah peruntuk RM1.75 juta untuk kerja pengubahsuaian dan diharap penambahbaikan ini akan menghadirkan ramai lagi pengunjung ke Santuasi Kampung Kelip-Kelip Kampung Kuantan,” katanya.


Pengarang :