Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan RM1,000 kepada mangsa banjir di Ampang pada 27 November 2021. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Negeri sumbang RM1,000 setiap keluarga terkesan banjir Ampang

SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan Selangor memperuntuk RM260,000 bantuan kecemasan kepada 260 mangsa yang terkesan akibat banjir di Lembah Jaya, Ampang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setiap keluarga menerima wang tunai RM1,000 termasuk bantuan asas dari Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

“Menginsafi musibah dan kesukaran yang dihadapi mangsa, Kerajaan Negeri sentiasa bersedia menyalurkan bantuan bagi meringankan beban mereka,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Amirudin menziarahi dan menyalurkan bantuan kepada penduduk di kawasan Kampung Pinggir Tiga dan Kampung Lembah Jaya di sini.

Sementara itu, Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya turut membelanja RM120,000 kepada keluarga terlibat.

“Daripada jumlah itu kita berikan mereka tilam, tong gas dan dapur gas…semoga barangan ini sedikit sebanyak menampung keperluan untuk meneruskan kehidupan selepas menghadapi musibah banjir,” katanya.

Baru-baru ini, beberapa kawasan sekitar daerah Ampang, Hulu Langat dan Gombak mengalami banjir kilat selepas hujan lebat hampir tiga jam di Lembah Klang.

Di Ampang antara kawasan terlibat Taman Hillview, Kampung Lembah Jaya Utara dan Lembah Jaya Selatan.

Susulan kejadian, Kerajaan Selangor menggerakkan beberapa agensi antaranya pihak berkuasa tempatan, KDEB Waste Management (KDEBWM) bersama pusat khidmat dan penyelaras DUN memberi bantuan kecemasan serta membantu proses perpindahan.


Pengarang :