PENDAPATRENCANA

Nikmati masa sendiri, mulakan kembara solo teroka Selangor

OLEH TOURISM SELANGOR

SHAH ALAM, 7 NOV: Melancong bersama keluarga mahupun rakan-rakan memang menyeronokkan. Tapi tahukah anda percutian seorang diri juga mempunyai tarikan tersendiri serta memberi cabaran baharu?

Selangor kini dalam fasa empat Pelan Pemulihan Negara dengan sektor pelancongan dibuka sepenuhnya, jadi anda harus menerokai seleksi tarikan pelancongan di negeri ini.

Memulakan percutian seorang diri pastinya mengajar kita untuk menjadi lebih teratur dan berdikari pada masa hadapan. Ayuh, atur perjalanan anda dan kunjungi destinasi yang disenaraikan di bawah.

1. Muzium Automobil Nasional

Terletak di Welcome Centre, Litar Antarabangsa Sepang merangkumi ruang pameran seluas 7,949 kaki persegi bagi tingkat bawah dan 10,577 kaki persegi untuk tingkat satu.

Muzium ini dibuka pada 2004 dan menampilkan sejarah perkembangan industri automotif negara. Tingkat bawah mempamerkan segmen pengenalan Muzium Automobil Nasional serta sejarah perkembangan sistem pengangkutan di Malaysia dan produksi kereta-kereta terawal.

Manakala tingkat satu pula memaparkan industri permotoran di Malaysia secara umum. Sebagai pelancong solo, anda dapat melihat lebih 20 model tempatan dan antarabangsa termasuk kereta vintaj di sini.

2. Mi Udang Banjir di Kuala Selangor

Makanan wajib anda cuba ketika berada di Kuala Selangor tentunya Mi Udang Banjir yang pasti membuatkan anda terliur. Ketika melancong seorang diri, anda mesti ingin mencari pilihan makanan yang sedap serta murah.

Mi yang disajikan dengan udang bersaiz besar dan kuah banjir memberikan kepuasan kepada setiap pelanggan. Di sinilah tempat paling sesuai untuk anda mulakan sesi “food hunting” dan nikmati makanan lazat tanpa perlu berkongsi dengan sesiapa.

3. Memancing di Pulau Ketam

Pulau Ketam bukanlah tempat yang asing kepada penggemar aktiviti memancing, terutama di Selangor. Pulau ini terletak berdekatan Pelabuhan Klang, lokasi popular untuk aktiviti perikanan.

Peluang rekreasi sambil memancing ini akan memberi ketenangan dan masa bersendirian dalam suasana yang menyeronokkan kepada anda.

4. Aktiviti bersama Hos Komuniti Selangor

Luangkan masa anda dengan melakukan aktiviti bersama Hos Komuniti di sembilan daerah. Mereka merupakan sekumpulan komuniti dengan pelbagai latar belakang, namun pastinya sangat “dekat” dengan cara hidup masyarakat setempat.

Anda boleh rasai pengalaman memancing dan pemprosesan kelapa secara tradisional dari Hos Komuniti Sabak Bernam atau belajar cara pemprosesan tempe dan resipi yang lazat di Kuala Langat.

5. Cuci mata dan beli-belah di 1 Utama

Aktiviti yang santai dan paling diminati ramai adalah membeli-belah, sambil ‘cuci mata’. 1 Utama Shopping Centre merupakan pusat beli-belah terbesar di Malaysia yang tidak lekang dari kunjungan pelanggan.

Ia merupakan lokasi ideal untuk dikunjungi kerana menawarkan deretan kedai yang menjual pelbagai barangan yang mampu memenuhi keperluan dan keinginan anda.

Tidak lupa juga di sini anda boleh cuba aktiviti sukan “FlowRider” atau “AirRider” Indoor Skydiving untuk sebuah pengalaman yang luar biasa!

Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.

 


Pengarang :