Kelihatan seorang penunggang p-panggilan melalui Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Lebuhraya Persekutuan untuk menghantar pesanan pada 13 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ops Merah: 2,710 kesalahan babit penunggang p-panggilan dalam sebulan

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan 2,710 kesalahan dilakukan penunggang motosikal khidmat penghantaran (p-panggilan) dalam tempoh kira-kira sebulan operasi khas Ops Merah bermula 8 Oktober hingga semalam.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata kesalahan paling tinggi adalah melanggar isyarat lampu merah dengan 902 kesalahan diikuti tidak mempunyai lesen memandu (602) dan tiada perlindungan insurans (256).

“Statistik kita (JPJ) mendapati 60 peratus kematian dalam kemalangan jalan raya adalah melibatkan penunggang motosikal dan operasi ini menumpukan kepada motosikal yang menjalankan perkhidmatan p-panggilan.

“Operasi ini juga sebagai respon terhadap aduan orang ramai berhubung kesalahan dilakukan pemandu dan penunggang motosikal terutamanya perkhidmatan p-panggilan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Ops Merah di Puchong Perdana, Subang Jaya dekat sini hari ini.

Lokman berkata sejak 8 Oktober hingga semalam, sebanyak 88,365 kenderaan diperiksa di seluruh negara menerusi Ops Merah dengan 14,677 notis dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan lalu lintas antaranya tidak mematuhi lampu isyarat, tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, melawan arus, menggunakan telefon bimbit ketika menunggang serta mengubah suai kenderaan.

Sementara itu, dalam Ops Merah di Puchong Perdana hari ini, sebanyak 1,974 kenderaan diperiksa dengan 584 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

-BERNAMA


Pengarang :