Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad beramah mesra ketika berkunjung ke rumah terbuka Deepavali EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja, V Ganabatirau di Kota Permai Golf & Country Club Kota Kemuning, Shah Alam pada 4 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Orang ramai diminta pandu berhati-hati, manfaat cuti perayaan

SHAH ALAM, 4 NOV: Dato’ Menteri Besar mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati memandu ketika musim perayaan Deepavali bagi mengelakkan kejadian buruk.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut meminta masyarakat memanfaatkan cuti dengan melawat tempat menarik di Selangor.

“(Bagaimanapun) Kita masih berdepan pandemik. Pastikan pelitup muka sentiasa dipakai dan jaga penjarakan fizikal supaya wabak Covid-19 dapat dikawal,” katanya.

Beliau ditemui di majlis rumah terbuka EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja V Ganabatirau di Kota Permai Golf & Country Club Kota Kemuning hari ini.

Amirudin bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhammad meluangkan masa kira-kira satu jam di majlis berkenaan selain turut beramah mesra dengan beberapa pemimpin Kerajaan Selangor.

Terdahulu, pasangan berkenaan turut berkunjung ke rumah terbuka Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr G Gunaraj di Bandar Country Homes, Rawang.

Sementara itu, Ganabatirau berkata beliau gembira dengan kehadiran pelbagai kaum termasuk dari luar Selangor ke majlis rumah terbukanya.

“Yang datang bukan hanya masyarakat India tetapi juga Melayu dan Cina. Ini semangat muhibbah yang kita mahu tunjuk ke dunia luar.

“Malaysia merupakan negara makmur dan penduduk bersatu padu walaupun masyarakatnya berlainan warna kulit,” katanya.

Majlis turut dihadiri Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng; Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim; EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud dan Setiusaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.


Pengarang :