Selangorkini
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan Notis 5A kepada salah seorang penduduk DUN Sungai Tua di Dewan Rakyat, Padang Awam Batu Caves pada 2 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Pakar ekonomi: Belanjawan Selangor selesaikan kemelut pascapandemik

SHAH ALAM, 25 NOV: Semua pihak menunggu Belanjawan Selangor 2022 pada 26 November. Tumpuan utama ialah manfaat rakyat menerusi pembentangan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pada masa sama, belanjawan negeri juga diharapkan berupaya memacu perkembangan Selangor selaku gerbang ekonomi utama negara, yang mempengaruhi 6 juta rakyat Malaysia secara langsung.

Ikuti kupasan pra-Belanjawan Selangor 2022 menerusi wawancara ALANG BENDAHARA bersama Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad Mohd Afzanizam Abdul Rashid dan Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

Bagi pasca Covid-19, apakah perkara yang sepatutnya menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dalam Belanjawan 2022?

Mohd Afzanizam Abdul Rashid

Mohd Afzanizam: Berdasarkan langkah kerajaan persekutuan, saya percaya lebih baik mengekalkan pengembangan dasar fiskal memandangkan pemulihan ekonomi masih peringkat awal dan terdedah kepada kejutan. Ketika ini, wujud kebimbangan terhadap tekanan peningkatan inflasi susulan masalah penawaran global. Maka, Kerajaan Selangor wajar mengekalkan langkah pengembangan bagi membolehkan pemulihan ekonomi lebih konsisten pada 2022 dan tahun seterusnya.

Dr Ahmed Razman: Fokus untuk Kerajaan Selangor dalam Belanjawan 2022 perlu lebih banyak, usaha memastikan tiada individu atau kumpulan tercicir daripada menerima bantuan Covid-19, menyuntik ekonomi negeri dengan memastikan proses pemulihan pelbagai kumpulan khususnya usahawan kecil dan sederhana berjalan lancar dan memulakan usaha menarik pelaburan mampan ke dalam negeri. Kerajaan Negeri juga perlu lebih agresif mencipta lebih banyak peluang untuk warganya dan perniagaan menuju ke arah ekonomi baharu seperti ekonomi digital dan meneroka potensi ekonomi lain seperti Revolusi Industri 4.0, sukan dan industri kreatif.

Sebagai individu yang tinggal di Lembah Klang dan juga rakyat negeri, apa yang dijangkakan daripada belanjawan kali ini?

Mohd Afzanizam: Lazimnya, dasar yang akan dibuat adalah pemberian tunai, geran perniagaan dan pinjaman mikro. Saya fikir ia akan terus relevan selagi warga Selangor, khususnya yang terjejas akibat Covid-19 sangat bergantung kepada bantuan untuk pulih. Selain bantuan kewangan, peningkatan kemahiran menerusi latihan dan juga padanan kerja juga penting kerana pembangunan kapasiti baik untuk manfaat jangka panjang.

Dr Ahmed Razman: Warga Selangor berharap lebih banyak peluang untuk mereka meningkatkan kemahiran dan latihan semula bagi memastikan mereka mendapat upah kerja lebih banyak memandangkan kos hidup meningkat saban tahun terutama di Lembah Klang. Wujud kebimbangan bilangan miskin bandar meningkat dan jurang pendapatan melebar antara bandar dan luar bandar.

Maka, jenis pelaburan yang dibawa penting untuk tidak perlu lagi bergantung kepada industri pembuatan yang menggunakan tenaga kerja murah, tetapi menumpukan industri berasaskan perkhidmatan seperti perkhidmatan kewangan memandangkan Tun Razak Exchange (TRX) akan beroperasi tidak lama lagi dan kemungkinan juga industri agro makanan yang khusus dalam pertanian urban. Jika Kerajaan Negeri dapat menarik pelaburan dan memulakan jenis industri seperti ini, rakyat mampu meningkatkan pendapatan menerusi kerja berkemahiran tinggi dan upah lebih banyak.

Pada Belanjawan Selangor 2021, salah satu fokus utama negeri ialah pendigitilan dan adakah perkara itu masih relevan untuk tahun depan?

Mohd Afzanizam: Pendigitalan akan berlanjutan untuk tempoh yang lama. Ia akan terus diguna sama ada dengan atau tanpa campur tangan kerajaan. Kerajaan Selangor perlu sedar tindakan mengabaikannya akan mendatangkan risiko pada kerajaan dan melebarkan lagi jurang pendapatan dan ketidaksamaan kekayaan. Sesetengah bidang yang perlu ada berkaitan dengan pendigitalan antaranya pemilikan telefon pintar, kemampuan melanggan internet, kelajuan data dan liputan. Justeru, sesetengah prasarana adalah bawah kerajaan persekutuan.

Sehubungan itu, penyelarasan antara persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan amat penting bagi memastikan kejayaan pendigitalan. Geran perniagaan yang ditawarkan peringkat persekutuan terutama dalam bidang berkaitan penggunaan digital dalam kalangan pemain industri kecil dan sederhana amat penting. Maka, penyelarasan yang baik akan membantu meningkatkan kadar pendigitalan yang membantu pemain industri kecil dan sederhana di Selangor.

Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff

Dr Ahmed Razman: Ya, ia masih relevan memandangkan fasa pertama program Jalinan Digital Negara akan selesai menjelang 2022 dan laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bertajuk “Laporan Ekonomi Digital Sedunia 2021” menumpukan fakta bahawa ekonomi seluruh dunia menuju pendigitalan dan jika kita tidak mengejarnya, kita akan ketinggalan. Negara-negara Asia Pasifik masih ketinggalan di belakang negara maju dalam aspek langganan telefon bimbit dan jalur lebar.

Penggunaan 5G dalam kalangan negara Asia Pasifik hanya sekitar 11 peratus berbanding Amerika Utara (47 peratus) dan China (46 peratus). Justeru, untuk mengekalkan daya saing dan meningkatkan rangkaian serta komunikasi dalam negeri, pendigitalan wajar kekal sebagai fokus utama untuk belanjawan tahun depan.

Belanjawan Selangor 2022 akan menumpukan peningkatan hasil negeri, pendidikan, inisiatif membantu mereka yang terjejas kerana Covid-19?

Mohd Afzanizam: Hasil negeri berkait rapat dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri (KDN). Dengan peningkatan perdagangan global, Selangor akan mendapat manfaat dan membolehkannya meningkatkan upaya mengutip lebih banyak cukai. Pendidikan adalah mengenai pembangunan kapasiti. Jadi, kita tidak salah dengan pendidikan. Yang penting keusahawanan. Kita telah melihat ramai rakyat Malaysia terbabit dengan perniagaan hasil perkembangan teknologi memberi pilihan untuk orang Selangor menambah pendapatan. Sehubungan itu, latihan keusahawanan perlu digalakkan supaya rakyat lebih tahu bagaimana untuk mengendalikan perniagaan, terutama apabila pendigitalan dalam setiap perniagaan.

Dr Ahmed Razman: Saya setuju perkara ini patut diberi perhatian tahun depan memandangkan 2022 adalah masa untuk menjana hasil lebih tinggi susulan peningkatan keyakinan pembeli. Pada masa sama, pandemik menyebabkan pelajar berdepan sukar kerana tidak dapat pendidikan sempurna dan kehilangan banyak jam pembelajaran khususnya dalam kalangan penduduk di luar bandar dan golongan berpendapatan rendah (B40).

Adakah perlu lebih banyak bantuan dan insentif lain kepada pengusaha industri kecil dan sederhana? Mengapa?

Mohd Afzanizam: Covid-19 menjejaskan banyak industri antaranya pelancongan, makanan dan minuman, peruncitan dan hiburan. Meski larangan rentas negeri ditarik semula, rentak pemulihannya akan mengambil masa. Sementara itu, akan ada lompang kutipan hasil, tidak sebaik dahulu. Justeru, geran dan pinjaman mikro akan membantu industri kecil dan sederhana dalam urusan perniagaan khususnya dalam bidang berkaitan modal kerja. Ini peluang untuk meminta industri kecil dan sederhana untuk menaik taraf perniagaan supaya layak mendapat bantuan kewangan. Jika tidak, ia hanya urusan perniagaan biasa bagi mereka.

Dr Ahmed Razman: Ya, penting untuk terus membantu mereka memandangkan industri kecil dan sederhana masih dalam fasa pemulihan dan memerlukan masa serta bantuan kewangan sebelum mereka boleh menjana pendapatan seperti sebelum ini dan menjadi mampan. Bagaimanapun, penekanan perlu diberi kepada jenis bantuan untuk memastikan kemampanan perniagaan berbanding bantuan sekali beri.

Pakej bantuan untuk pihak yang terkesan kerana Covid-19 telah diberi semasa pandemik. Adakah program kebajikan wajar diteruskan atau perlu mencari kaedah lebih kreatif?

Mohd Afzanizam: Antara isu utama dalam pemberian bantuan kewangan adalah kriteria terutama untuk program pemberian tunai. Kebiasaannya, ia bersandarkan tahap pendapatan. Pendapatan mungkin tidak memberi gambaran sebenar. Contohnya, seorang pesara yang pencennya separuh daripada gaji. Jadi mereka boleh dikategorikan sebagai B40 jika gaji akhir adalah RM4,000 yang bermakna mereka menerima RM2,000. Tetapi jika kita lihat lebih teliti misalnya rumah, simpanan dan mungkin elaun bulanan yang diterima daripada anak-anak bekerja, mereka mungkin tidak layak untuk bantuan. Pokoknya, kita perlu lebih cakna dalam menilai penerima bantuan bagi mengelakkan ketirisan dan pembaziran.

Muhammad Huzaifi Ismut (kiri) bersama rakan menunjukkan kotak makanan diterima ketika penyerahan bantuan makanan kepada mahasiswa di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 8 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI


Dr Ahmed Razman:
Program kebajikan wajar diteruskan kerana masih ramai yang memerlukan bantuan dan bilangan orang yang tidak bekerja masih tinggi. Bagaimanapun, harus ada usaha bersepadu antara Kerajaan Negeri, swasta, badan bukan kerajaan, persatuan peniaga dan orang perseorangan. Selangor mencatat kutipan hasil RM1.79 bilion daripada sasaran iaitu RM2.2 bilion tahun ini setakat 30 September 2021.

Sehingga hari ini, kira-kira RM819.27 juta atau 67.18 peratus dibelanjakan ke atas pengurusan. Belanja pembangunan sebanyak 47 peratus atau RM523.45 juta. Lebihan dianggar RM449.15 juta. Adakah perkara sama berlaku di negeri lain atau peringkat nasional?

Mohd Afzanizam: Prestasi fiskal tidak sama dalam kalangan negeri-negeri. Selangor adalah penyumbang KDN terbesar negara dan prestasinya akan menggambarkan prestasi nasional. Berdasarkan angka, Kerajaan Selangor mempunyai kemampuan kewangan untuk pengembangan belanjawan.

Dr Ahmed Razman: Ini pengurusan fiskal yang baik oleh Kerajaan Negeri berikutan seluruh negara dan dunia pada 2021 terjejas akibat perintah kawalan pergerakan dan kelembapan ekonomi. Tentunya setiap negeri mempunyai isu dan cabaran tersendiri seperti kerajaan persekutuan. Namun yang penting kerjasama antara negeri dan persekutuan perlu dipertingkat untuk mendapat penyelarasan lebih baik dalam membantu orang memerlukan.

Kerajaan Selangor membelanjakan kira-kira suku daripada RM2.2 bilion Belanjawan Selangor 2021 untuk program kebajikan. Belanjawan negeri 2022 akan mengimbangi aspek pembangunan dan kebajikan. Pandangan?

Mohd Afzanizam: Saya fikir lebih baik menilai penerima bantuan kewangan tahun ini dan bagaimana keadaan mereka pada tahun depan. Jika ada antaranya telah pulih, maka bantuan itu wajar dihentikan. Dengan kata lain, pemantauan perlu cekap bagi memastikan semua sumber dioptimumkan.

Dr Ahmed Razman: Saya setuju perlunya ada keseimbangan antara pembangunan dan kebajikan. Ia keseimbangan yang baik dan seharusnya kita mempunyai lebih daripada satu kaedah bagi menyelesaikan semua masalah. Kerajaan harus turun padang dan memahami keperluan semua kumpulan dan membantu mengikut keperluan itu. Kebertanggungjawaban dan ketelusan aspek penting untuk memastikan segala usaha dan hasil perbelanjaan memberi keputusan yang diingini.

Kerajaan Selangor belanjakan hampir RM1.1 bilion untuk membantu rakyat mendepani pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu antaranya Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin dan Pakej Kita Selangor. Apa komen berhubung langkah-langkah ini?

Mohd Afzanizam: Ini jelas menunjukkan Kerajaan Selangor bertindak berdasarkan persekitarannya. Kejutan ekonomi kerana Covid-19 memerlukan reaksi proaktif campur tangan Kerajaan Negeri. Tindakan seperti ini melegakan rasa resah orang ramai yang bimbang dengan pandemik yang memberi impak kepada kehidupan.

Dr Ahmed Razman: Saya fikir langkah Kerajaan Selangor mengusahakan semua program ini menunjukkan sisinya sebagai kerajaan prihatin namun pada masa sama memastikan semua kumpulan terjejas mampu pulih dan menjadi lebih berdaya tahan untuk tahun ini dan seterusnya.

Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media khas berhubung perkembangan terkini Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 di kediaman rasminya di Shah Alam pada 15 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI


Apa nasihat atau pendapat untuk Belanjawan Selangor 2022 bagi negeri yang mempunyai populasi seramai 6.56 juta orang, teramai di Malaysia sekali gus ekonominya yang terbesar mengikut KDN?

Mohd Afzanizam: Pandangan saya ialah peranan Kerajaan Selangor mengemudi ekonomi negeri terutama ketika pandemik amat penting. Kita telah melihat hasil daripada kelulusan pelaburan besar sepanjang tahun. Pada masa sama, Kerajaan Negeri perlu berjaga-jaga dengan pengurusan fiskal. Saya melihat Kerajaan Negeri mempunyai perkara yang diperlukan untuk berkembang baik pada tahun depan dan tahun seterusnya.

Dr Ahmed Razman: Belanjawan Selangor 2022 akan menjadi belanjawan mesra rakyat dan peniaga. Saya berharap belanjawan ini mampan dan berani, yang bermakna kerajaan sanggup meneroka portfolio baharu untuk mempelbagaikan ekonominya dan menjana lebih banyak pendapatan untuk kerajaan tahun depan.


Pengarang :