EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim (hadapan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris (kanan) melawat ruang pameran ketika majlis penutupan Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark, Subang pada 27 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pameran Udara Selangor tahun depan sasar lebih banyak penyertaan

SUBANG, 28 NOV: Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 dijadual berlangsung pada 8 hingga 10 September tahun depan di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark di sini.

Penganjuran edisi kedua menyasarkan penyertaan 11 negara meliputi Sepanyol, United Kingdom, Jepun, Korea, China, Rusia, Turki, Switzerland, Amerika Syarikat, Perancis, Brazil termasuk Malaysia, kata EXCO pelaburan.

Menurut Dato’ Teng Chang Khim, sasaran lebih banyak penyertaan pemain industri aeroangkasa dan penerbangan berupaya mengukuhkan taraf acara itu di peringkat global.

“Kita jangka keadaan (pandemik) akan pulih tahun depan, maka sasaran lebih tinggi harus diletakkan sebagai cabaran. Kita (Kerajaan Negeri) dan kerajaan persekutuan juga perlu berusaha gigih dalam memajukan industri ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penutup SAS 2021 di sini semalam yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris.

Sementara itu, Chang Khim berkata pihaknya akan mendapatkan maklum balas daripada pempamer sebaik SAS 2021 menutup tirai bagi meneliti aspek yang perlu ditambah baik.

“Sudah tentu setiap program dianjurkan akan ada kekurangannya terutama dari segi mengaturkan gerai (pameran) disebabkan berdepan kesuntukan masa.

“Kita masih menunggu maklum balas daripada orang ramai khususnya pempamer supaya dapat mencapai prestasi lebih tinggi (bagi penganjuran SAS 2022),” katanya.

Mengulas sama ada Selangor bersedia menganjurkan pertunjukan udara sebagai sebahagian SAS 2022, beliau berkata pihaknya akan meneliti perkara tersebut selain mencari penaja berikutan memerlukan perbelanjaan besar.

“Peruntukan sebanyak RM5 juta disediakan dalam Belanjawan #Selangor2022 mungkin belum cukup tetapi kita cuba cari sokongan daripada syarikat berkaitan dan penaja yang dapat membantu perkara ini.

“Memandangkan SAS tahun ini mendapat sambutan begitu baik daripada pemain industri, ia memudahkan usaha kita untuk memperoleh lebih banyak penajaan pada pameran tahun depan,” katanya.


Pengarang :