Selangorkini
Orang ramai hadir melihat peluang kerjaya semasa Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 23 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pandu lebih 200 km dari Melaka hadir Jelajah Selangor Bekerja

HULU LANGAT, 13 NOV: Seorang graduan kejuruteraan menempuh perjalanan sejauh 246 kilometer (km) dari Tengkera, Melaka untuk mencari kerja menerusi program Jelajah Selangor Bekerja di Dewan Demesne di Bandar Baru Bangi hari ini.

Muhammad Luqman Arif Mohd Zainud-din, 26, berkata dia mahu mencari pekerjaan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor kerana bakal isterinya bekerja di Klang.

“Saya hadir pada program ini walaupun terpaksa memandu jauh kerana banyak peluang kerja disediakan sesuai dengan kelulusan saya dalam bidang kejuruteraan.

Muhammad Luqman Arif Mohd Zainud-din datang dari Tengkera, Melaka untuk mencari kerja di program Jelajah Selangor Bekerja di Dewan Demesne di Bandar Baru Bangi, Kajang pada 13 November 2021. Foto AMIN RIDZUAN ISHAK/SELANGORKINI

“Alhamdulillah syarikat saya hadiri proses temu duga hari ini memberi maklum balas baik dan ada yang memanggil saya untuk proses selanjutnya,” kata lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi Kapal Terbang dari Institut Teknologi Penerbangan Malaysia, Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Bagi seorang lagi peserta, Norharhanah Kasnin, 35, dia hadir untuk mencari pekerjaan baru kerana kontraknya dengan sebuah agensi kerajaan bakal tamat penghujung tahun ini.

“Saya tidak tahu sama ada kontrak disambung atau tidak tetapi lebih baik saya buat persediaan dari sekarang.

“Lagi pun bila hadir program seperti ini dapat juga lihat peluang pekerjaan lain yang lebih baik,” katanya.

Pada program itu, sebanyak 31 majikan menawarkan lebih 1,000 pekerjaan.

Jelajah Selangor Bekerja 2021 berjalan sejak 23 Oktober mendapat kerjasama hampir 200 syarikat dengan menawarkan lebih 25,000 peluang pekerjaan.

Program diadakan di tiga lagi lokasi iaitu Dewan Demesne, Hulu Langat (hari ini); Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buluh (20 November) dan Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor (27 November).


Pengarang :