Notis kawasan pantai ditutup dari 8 hingga 10 Oktober berikutan fenomena air pasang besar di Pantai Kelanang, Kuala Langat ketika tinjauan pada 8 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Paras air laut di Kapar cecah 5.5 meter, tiada penduduk dipindahkan

SHAH ALAM, 4 NOV: Paras air laut di Jeti Nelayan Pangkalan Tok Muda, Kapar, Klang mencecah ketinggian 5.5 meter pada jam 5.20 pagi tadi.

Ketua Zon Bomba Klang Hussin Ab Rahman berkata keadaan itu terkawal, tiada penduduk diarah berpindah, lapor Berita Harian.

“Hari ini pada jam 5.20 pagi, fenomena air pasang besar menyebabkan paras air naik paling maksimum iaitu 5.5 meter tetapi keadaan air berada pada paras itu bertahan sekitar 10 hingga 15 minit sebelum mulai surut.

“Kebimbangan kami sekiranya hujan dan angin dari laut, itu boleh menyebabkan kenaikan paras air pasang besar. Jadi, hari ini terkawal, tiada air yang melimpah,” katanya.

Menurut Hussin paras air laut dijangka lebih tinggi iaitu 5.6 meter, namun melihat kepada keadaan semasa cuaca pada hari ini keadaan mungkin berterusan baik.

Pemantauan turut disertai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta pihak polis.


Pengarang :