Keadaan sebuah kedai perabot di Jalan Kampung Pasir, Ampang yang dirempuh kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk mengakibatkan seorang pekerja di premis itu parah pada 21 November 2021. Foto JBPM Selangor
AGENDANASIONAL

Pekerja kedai perabot parah premis dirempuh pemandu mabuk

SHAH ALAM, 21 NOV: Seorang pekerja kedai perabot parah selepas premis di Jalan Kampung Pasir di Ampang, dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu pemandu mabuk, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata kejadian jam 6 petang itu turut mengakibatkan struktur kedai perabot terpakai berkenaan rosak akibat rempuhan.

“Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 6.15 petang di mana kereta jenis Proton Preve dipandu lelaki berusia 36 tahun merempuh kedai berkenaan.

“Kejadian mengakibatkan mangsa berusia lingkungan 20-an parah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pemandu kenderaan hanya mengalami cedera ringan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) memberi bantuan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut. Mangsa didapati tidak sedarkan diri,” katanya.


Pengarang :