AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pelan biaya kewangan Hijrah bantu 334 peniaga terkesan pandemik

SHAH ALAM, 7 NOV: Seramai 334 usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) berjaya memohon pelan pemulihan pembiayaan bernilai RM3.18 juta setakat 31 Oktober.

Angka yang direkod sejak 1 Jun mendapat sambutan menggalakkan susulan banyak peniaga terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19, kata pengurus promosinya.

“Kebanyakan usahawan tidak mampu bayar pinjaman mengikut amaun sepatutnya, jadi pegawai kutipan di 20 cawangan Hijrah Selangor menawarkan pelan ini,” kata Mohd Ridhwan Asmara ketika dihubungi.

Beliau berkata kelulusan tertinggi direkodkan bulan lalu seramai 144 usahawan dan mengakui ada yang enggan mengambil peluang kerana bimbang tempoh pembiayaan lebih panjang.

“Kita percaya inisiatif ini membantu usahawan yang terkesan akibat wabak, malah pegawai kutipan tetap memberi nasihat kepada mereka,” katanya menambah permohonan dibuka sepanjang masa.

Sebelum ini, seramai 40,000 usahawan Hijrah diberi moratorium bayaran pinjaman selama enam minggu yang berakhir pada 31 Julai lalu.

Inisiatif menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 membabitkan impak kewangan berjumlah RM11.35 juta.


Pengarang :