EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berucap pada Majlis Tourism Selangor Global Convention 2021 di Hotel New World, Petaling Jaya pada 23 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pelancong antarabangsa ke Selangor dijangka meningkat tahun depan

PETALING JAYA, 23 NOV: Kerajaan Negeri menyasarkan lebih ramai pelancong luar negara berkunjung ke Selangor sejurus gelembung pelancongan antarabangsa dibuka.

EXCO pelancongan berkata pihakya tidak meletakkan sasaran jumlah pengunjung tempatan mahupun antarabangsa ke Selangor tahun depan berikutan kes Covid-19 yang kelihatan masih tinggi.

Menurut Hee Loy Sian, kedatangan pelancong khususnya dari luar negara dilihat semakin menurun pada 2019 iaitu 3.3 juta dan semakin berkurang kepada 1.57 juta pada tahun lalu.

“Kita tidak menetapkan sasaran pelancong ke Selangor pada tahun depan tetapi kita harap selepas kerajaan membuka pintu sempadan, lebih banyak pelancong antarabangsa berkunjung ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pusing Selangor Dulu Travel Fair dan Konvensyen Global Tourism Selangor 2021 di Hotel New World Petaling Jaya di sini hari ini.

Susulan banyak kelonggaran diberi pada masa kini, Loy Sian menasihatkan masyarakat terus mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) ketika bercuti atau beriadah.

Pada masa sama, beliau menyeru pihak berkuasa tempatan (PBT) agar mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu yang melanggar SOP.

“Kita harap pengunjung jangan terlalu ghairah ketika melancong sehingga menghiraukan SOP dan PBT juga perlu bertegas memastikan orang ramai mematuhi peraturan,” katanya.


Pengarang :