Sky Mirror di Kuala Selangor antara tarikan pelancong tempatan dan luar negara. Foto arkib SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pelancong naik mendadak, pengusaha terpaksa tambah bot ke Sky Mirror

SHAH ALAM, 17 NOV: Pengusaha bot Sky Mirror di Kuala Selangor terpaksa menambah kemudahan itu susulan peningkatan ketara pengunjung sejak aktiviti pelancongan dibenarkan dalam fasa empat Pelan Pemulihan Negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad berkata lokasi pelancongan bertaraf antarabangsa itu mendapat promosi meluas daripada orang awam di platform media sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad

“Sekarang orang ramai guna TikTok, Instagram dan Twitter untuk kongsi keunikan Sky Mirror sehingga saya difahamkan pengusahanya perlu tambah lagi bot untuk bawa pelancong meneroka tempat itu.

“Sebenarnya memang ramai yang masih tidak tahu Sky Mirror hanya ada di dua tempat iaitu di Salar de Uyuni, Bolivia dan Malaysia (Kuala Selangor),” katanya

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pembangunan ‘SACC Walk Retail Container’ bersama Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) Fakru Radzi Ab Ghani di SACC Mall semalam.

Azrul Shah menambah beberapa lokasi pelancongan lain turut mendapat sambutan daripada pelancong dalam dan luar antaranya Pantai Morib, Banting; inap desa, Sabak Bernam serta Jeti Sirip Biru, Sepang.

Bagaimanapun, katanya, penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terus memantau pusat pelancongan bagi memastikan tiada pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP).

“Sebagai agensi promosi pelancongan, kita telah menguar-uarkan tentang kepentingan mematuhi SOP apatah lagi lokasi pelancongan menjadi tumpuan orang ramai pada hujung minggu,” katanya.

Pada 17 Disember tahun lalu, Tourism Selangor memperkenalkan kempen Pusing Selangor Dulu bagi menggalakkan rakyat tempatan melancong ke negeri ini.

Menampilkan aktres popular Che Puan Juliana Evans sebagai duta, badan pelancongan negeri itu turut menggunakan tanda pagar #PusingSelangorDulu yang kini meraih 22 juta capaian di laman media sosial.


Pengarang :