EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah menjawab soalan di Dewan Negeri Selangor pada 30 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pembangunan kawasan selatan beri impak positif, jana ekonomi setempat

SHAH ALAM, 30 NOV: Pembangunan kawasan selatan Selangor dengan pembinaan Taman Aero Antarabangsa Selangor di Sepang mampu memberi impak positif kepada ekonomi negeri dan penduduk setempat.

Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat berkata pemilihan kawasan selatan Selangor tepat kerana terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Putrajaya.

“Kawasan ini merupakan pesat membangun dan dilihat memberi impak baik kepada pembangunan daerah dan kawasan sekitarnya. Saya yakin penduduk setempat akan menikmati limpahan ekonomi

“Walaupun kawasan ini dibangunkan, ia tidak akan menjejaskan kampung tradisi kerana kita mempunyai rumah inap banghuris yang mengekalkan kebudayaannya,” kata Borhan Aman Shah yang juga EXCO kebudayaan dan warisan.

Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Belanjawan Selangor memaklumkan Kerajaan Negeri akan menerajui pembangunan kawasan industri baharu di selatan Selangor.

Pembangunan itu meliputi beberapa aspek bagi meneroka dan merealisasikan potensi sebenar kawasan ini yang terletak berhampiran dengan KLIA di Sepang.

Taman Aero Antarabangsa Selangor di kawasan Sepang akan dibangunkan meliputi zon perdagangan bebas, teknologi hijau serta sumber tenaga boleh diperbaharui.

Projek ini diterajui anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di atas tanah seluas 2,000 ekar.

Taman Aero Antarabangsa Selangor berupaya menarik perhatian syarikat aeroangkasa, syarikat penerbangan, syarikat pengendali pesawat komersial dan peribadi serta syarikat yang terlibat dalam industri pertahanan dan teknologi.


Pengarang :