Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Pemilik akaun Twitter warga Palestin diminta tampil bantu siasatan kes rasuah

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Polis sedang mengesan pemilik akaun Twitter ‘NURATIKAHROSE’ dan seorang lelaki warga Palestin bagi membantu siasatan berhubung rakaman suara yang tular mendakwa anggota polis meminta wang sogokan di sekatan jalan raya di Batu 7, Jalan Gombak Lama, di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata pemilik akaun berkenaan telah memuat naik beberapa rakaman suara milik lelaki Palestin itu yang mendakwa seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan itu telah meminta wang daripadanya atas kesalahan gagal menunjukkan dokumen diri yang sah.

“Polis telah merakam keterangan beberapa anggota yang bertugas semasa sekatan jalan raya tersebut. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti anggota yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Zainal Mohamed berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Abdul Aziz Sulaiman di talian 03-61262222 dan 016-7185750.

– BERNAMA


Pengarang :