Ketua pengasuh taska, Nazatul Nadia Mustakim, 27 melakukan aktiviti bersama anak taska ketika Pelancaran Taska Anak Petugas Barisan Hadapan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 18 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PENDAPATRENCANA

Pengasuh, taska tidak berdaftar boleh beri kesan psikologi kanak-kanak

Oleh Erda Khursyiah Basir & Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi emosi, psikologi dan tumbesaran kanak-kanak yang diletakkan di rumah pengasuh, taman asuhan kanak-kanak (taska) atau pusat jagaan berdaftar, berbanding dengan yang tidak berdaftar.

Berkongsi perspektif beliau mengenai faktor berkenaan, Pakar Psikologi Kanak-Kanak Universiti SEGi Prof Datin Dr Mariani Md Nor antaranya mengutarakan suasana persekitaran fizikal yang lebih kondusif, bersih dan selamat di samping aktiviti harian disusun secara sistematik dan berjadual bagi proses perkembangan kanak-kanak.

Beliau juga berpandangan, pemakanan yang disediakan mengikut menu yang sesuai untuk kanak-kanak itu juga mempunyai pengaruh dan perlu dititikberatkan.

Dalam masa yang sama, Dr Mariani berkata, pengasuh, taska dan pusat jagaan berdaftar perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan keselamatan dan kesihatan kanak-kanak terjamin sepanjang tempoh jagaan mereka.

Menurut beliau, senario ini pastinya berbeza dengan pengasuh, taska dan pusat jagaan yang tidak berdaftar kerana mereka tidak terikat dengan sebarang SOP atau peraturan.

“Tidak dinafikan ada pengasuh yang baik, berpengalaman dan mempunyai latar belakang pendidikan awal kanak-kanak, namun ianya banyak bergantung kepada ‘nasib’.

“Alhamdulillah jika ada ibu bapa yang mendapat pengasuh sedemikian. Secara tidak langsung, ini dapat mengurangkan sebarang risiko kejadian buruk berlaku kepada anak-anak mereka.

“Namun begitu, lazimnya dalam persekitaran yang tidak kondusif dan keadaan bebas tanpa peraturan di bawah penjagaan tidak bertauliah, perkembangan fizikal dan emosi kanak-kanak serta sosialisasi mereka pastinya berbeza,” katanya kepada Bernama dalam wawancara eksklusif baru-baru ini.

Ilmu keibubapaan

Mengulas lanjut, Dr Mariani yang juga Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak Kanak Malaysia berkata, kesan psikologi yang dapat dilihat adalah lebih kepada proses tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak secara holistik.

Dengan persekitaran fizikal yang tidak kondusif terutama di taska atau tadika tidak berdaftar, kanak-kanak berkemungkinan besar tidak berpeluang untuk bersosial dan mengembangkan kemahiran insaniah mereka

“Ini ditambah dengan ketiadaan aktiviti sepatutnya mengikut peringkat umur seperti bertukar pendapat, membuat keputusan termasuk menerima keadaan ‘kalah dan menang’ yang sepatutnya dipelajari dalam sistem pendidikan yang lebih sistematik, ” katanya.

Keadaan ini, kata beliau, sudah tentu akan mempengaruhi perkembangan kanak-kanak, apatah lagi sekiranya diberi makanan yang tidak sepatutnya (jika berlaku) yang turut mempengaruhi pertumbuhan fizikal mereka.

Menurut Mariani, jika taska dan pusat jagaan berdaftar, risiko seperti penderaan dapat dikurangkan kerana mereka yang menjadi pengasuh wajib mengambil Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA (Kursus Asuhan PERMATA /KAP).

“Kursus ini boleh membimbing pengasuh dalam proses mengasuh beserta pendidikan yang lebih berkualiti disertai elemen penuh empati dan sifat sabar yang tinggi.

“Di taska dan pusat jagaan tidak berdaftar pula terdapat risiko sesiapa sahaja boleh diterima untuk bekerja tanpa mengira latar belakang kerana tiadanya peraturan yang menggariskan tenaga pengasuh perlu mempunyai sijil atau kelayakan tertentu untuk mengasuh kanak-kanak,” jelasnya.

Tekanan punca dera

Dalam pada itu, Mariani berkata, tindakan segelintir pengasuh yang tergamak melakukan kekasaran dan penderaan terhadap kanak-kanak adalah disebabkan stres atau tekanan sedia ada.

Ini ditambah dengan masalah lain yang berlanjutan tanpa penyelesaian serta tiadanya sokongan daripada keluarga dan orang sekeliling.

Beliau menjelaskan, kanak-kanak yang lazimnya aktif, lasak dan agresif boleh menjadi ‘bom jangka’ kepada pengasuh yang seterusnya membawa kepada isu penderaan malah lebih teruk kes kematian yang menyayat hati hanya kerana disebabkan tekanan yang gagal dikawal.

Menurut beliau lagi, kajian di dalam dan luar negara kebanyakannya menunjukkan peratusan tinggi penderaan terhadap kanak-kanak adalah disebabkan oleh stres serta beberapa masalah sampingan lain.

“Kanak-kanak yang didera boleh membesar sebagai pendera dan menjadi agresif bergantung kepada tahap penderaan telah berlaku pada mereka.

“Mereka juga mungkin bersifat pasif, tidak mudah percaya kepada orang lain, bersikap kurang yakin diri serta mempunyai estim kendiri yang rendah, ” katanya.

Justeru, kata Mariani, amat penting untuk setiap pengasuh mempunyai ilmu keibubapaan serta pendidikan awal kanak-kanak, yang boleh menjadi panduan dalam membimbing dan mengasuh agar kanak-kanak dapat membesar menjadi insan yang seimbang dari aspek fizikal, mental dan rohaninya sekali gus menjadi pemimpin pelapis kepada masyarakat.

“Ilmu berkaitan penjagaan kanak-kanak boleh menyumbang dalam mencorakkan masa depan mereka. Pengasuh ibarat ibu bapa pada waktu siang (ketika ibu bapa keluar bekerja), maka ilmu ini amat penting untuk dimiliki oleh setiap pengasuh bagi memastikan proses kemenjadian anak-anak berlaku pada landasan yang sepatutnya.

“Pengasuh yang diamanahkan untuk menjaga kanak-kanak perlu mempunyai sifat kepunyaan dan kasih sayang bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku, ” katanya.

Permintaan tinggi

Sementara itu, permintaan yang tinggi untuk pusat jagaan kanak-kanak daripada ibu bapa dan penjaga untuk penyelesaian mudah serta segera, turut menyumbang kepada lambakan pusat jagaan kanak-kanak tidak berdaftar.

Anggota Exco Majlis Kebajikan Kanak-kanak Malaysia (MKKM), Shahida Musa memberitahu Bernama, di samping faktor ibu bapa keluar bekerja, terdapat juga kanak-kanak yang ditempatkan di pusat jagaan apabila berlakunya masalah dalam institusi keluarga seperti penceraian, masalah kewangan dan isu keganasan rumah tangga.

Menurut beliau, selain isu yuran taska atau pusat jagaan berdaftar yang mahal, ada juga ibu bapa yang mementingkan diri, tidak memikirkan perkembangan pertumbuhan anak-anak mereka sehinggakan sanggup meletakkan mereka di pusat jagaan tidak berdaftar.

Keadaan ini juga, tambah beliau, menyumbang kepada kemunculan premis ini ibarat ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.

Dalam masa yang sama, terdapat juga pusat jagaan yang beroperasi disebabkan faktor ingin mengaut keuntungan hasil daripada kutipan derma orang ramai.

Shahida berkata, memandangkan terdapat permintaan yang tinggi untuk pusat jagaan kanak-kanak, maka ada pengusaha sama ada berniat baik atau demi keuntungan semata-mata, bertindak membuka dahulu pusat jagaan dan kemudian baru membuat permohonan kepada JKM.

“Terdapat pengusaha yang memperoleh pelbagai kemudahan serta pengiktirafan daripada masyarakat setempat hasil daripada kerja kebajikan mereka selain turut mendapat imbuhan kewangan kerana mengusahakan pusat jagaan.

“Apabila sudah memegang duit yang banyak hasil daripada sumbangan orang ramai, mereka menjadi ‘gelap mata’ dan tidak lagi memikirkan akta atau undang-undang yang sepatutnya dipatuhi,” jelasnya, sambil menambah, pengusaha pusat jagaan wajar menambah ilmu berkaitan aspek penjagaan dan kesihatan kanak-kanak, ilmu pentadbiran pusat jagaan serta ilmu pengurusan kewangan.

– BERNAMA


Pengarang :