Penari Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) membuat persembahan tarian sempena program Lepak Seni Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di kedai kopi Tasik Shah Alam pada 28 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pengunjung terhibur program Lepak Seni MBSA, aktiviti santai keluarga

SHAH ALAM, 28 NOV: Rata-rata pengunjung terhibur dengan pengisian program Lepak Seni @ Kedai Kopi anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Taman Tasik Shah Alam hari ini.

Mohd Izzuan Shah Jamaludin, 36, yang datang bersama isteri dan tiga anaknya berkata acara itu sangat bagus dan dapat memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai aktiviti kebudayaan.

Mohd Izzuan Shah Jamaludin

“Dengan adanya persembahan angklung dan tarian tradisional ia dapat memberi pengetahuan kepada anak-anak memandangkan mereka hidup pada zaman moden dan kurang didedahkan dengan aktiviti ini,” katanya.

Manakala, Marlia Mohd Zaini, 30, turut memuji program itu yang disifatkan amat bersesuaian untuk ibu bapa membawa anak bersantai setiap hujung minggu.

Marlia Mohd Zaini

“Sudah lama kita berkurung dalam rumah disebabkan pandemik Covid-19, dengan adanya program seumpama ini ia sedikit sebanyak menghiburkan seisi keluarga,” katanya.

Helmi Mohd Bachalan, 43, pula berkata program itu dapat menghidupkan Taman Tasik Shah Alam dan berharap diteruskan lagi pada masa akan datang.

Helmi Mohd Bachalan

“Pengisian program juga menarik seperti perpustakaan bergerak, aktiviti mewarna sesuai untuk kanak-kanak. Saya harap program ini dapat dianjurkan setiap bulan,” katanya.

Program Lepak Seni @ Kedai Kopi bertujuan menyemarakkan aktiviti seni budaya dan menghiburkan pengunjung sekitar tasik berkenaan.

Orang ramai menyaksikan persembahan sempena program Lepak Seni Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di kedai kopi Tasik Shah Alam pada 28 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Program diserikan dengan persembahan tarian tradisional daripada kumpulan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri (Padat) selain pemuzik jalanan oleh Trio Jaybonz dan kumpulan Angklung dari Sekolah Kebangsaan Taman Seri Muda.

Turut diadakan aktiviti mewarna bagi kanak-kanak berumur empat tahun sehingga 12 tahun, perpustakaan bergerak MBSA dan aktiviti kraf penanda buku.


Pengarang :