Guru dan murid-murid mematuhi penjarakan sosial serta berada di dalam kotak garisan ditetapkan sewaktu sesi pembelajaran di Tadika Tunas Bestari Seksyen 18, Shah Alam pada 1 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Pengusaha tadika, taska harap khabar gembira Belanjawan #Selangor2022

SHAH ALAM, 17 NOV: Belanjawan #Selangor2022 yang akan dibentangkan Jumaat depan diharap memberi khabar gembira buat pengusaha Taman Didikan Awal Kanak-Kanak (Tadika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) negeri ini.

Pengusaha Tadika Gemilang Suridah Salleh berkata banyak pengusaha terpaksa ‘gulung tikar’ berikutan tidak mampu bertahan sepanjang pandemik Covid-19 melanda.

Katanya geran khas wajar disediakan kepada pengusaha berdaftar untuk menstabilkan semula kedudukan kewangan yang terjejas susulan pandemik.

“Pendapatan kami merudum sedangkan segala kos ditanggung adalah sama. Jadi, besar harapan sekiranya ada mekanisme bagi membantu tadika kecil seperti kami menyelesaikan keadaan gawat.

“Sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan supaya kami boleh perbetulkan keadaan kewangan,” katanya.

Sementara itu, Pengusaha Tadika Pusat Perkembangan Kanak-Kanak Bersepadu Putra Perdana (PPICDC) Nazratul Ain berkata Kerajaan Negeri dicadang menawarkan subsidi kepada guru tadika dan taska untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

“Kalau boleh kita mahu menyediakan pendidikan berkualiti kepada kanak-kanak dan untuk itu, guru yang mengajar juga perlu dalam kalangan mereka yang berkualiti,” katanya.

Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentang di Dewan Negeri Selangor pada 26 November ini bakal menumpukan kepada merancakkan semula ekonomi bagi membantu rakyat pasca wabak Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini berkata usaha yang bakal ditekankan dalam belanjawan kali ini antaranya menambah hasil dan bantuan kepada penduduk terjejas pandemik.

Pembentangan boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV (selangortv.my) dan menerusi media sosial https://www.facebook.com/MediaSelangor


Pengarang :