Selangorkini
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Haris Kasim berucap ketika majlis Perhimpunan Penjawat Awam di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 8 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Penjawat awam perlu sokong dasar digital negeri

SHAH ALAM, 8 NOV: Pendigitalan harus menjadi keutamaan penjawat awam negeri ini dalam membuat keputusan selaras sasaran Selangor ke arah Negeri Pintar menjelang 2025.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim berkata mereka harus menyokong dan bergerak seiring dengan Kerajaan Negeri yang pada masa kini membawa agenda berkenaan.

Menurutnya, ketika pandemik Covid-19 ramai beralih kepada perkhidmatan secara dalam talian dan Selangor turut memperkenalkan inisiatif e-Dapur dan E-Bazar Raya bagi membantu golongan peniaga.

“Kita selaku penjawat awam perlu menyesuaikan diri dalam dasar kerajaan ini supaya kita lebih peka dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat.

“Usaha pemerkasaan seperti ini sangat penting demi memastikan kesinambungan produktiviti ekonomi, keberdayaan huni serta kelestarian alam sekitar di Selangor sentiasa ditambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis himpunan penjawat awam bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Beliau juga mengingatkan penjawat awam negeri berkhidmat dengan amanah dan tidak menyalahgunakan kuasa untuk keuntungan peribadi.

“Saya tegaskan bahawa kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai awam terlibat dengan salah laku atau salah guna kuasa,” katanya.


Pengarang :