Anggota bomba memantau keadaan runtuhan tanah di Jalan Sungai Tekali, Hulu Langat akibat pergerakan bawah tanah pada 24 November 2021. Foto Facebook Informasi Terkini Penduduk Hulu Langat
AGENSISELANGOR

Pergerakan bawah tanah punca hakisan, paip pecah di Jalan Sungai Tekali

SHAH ALAM, 24 NOV: Runtuhan tanah yang berlaku di Jalan Kampung Sungai Tekali, Hulu Langat dekat sini berpunca daripada pergerakan bawah tanah hingga menyebabkan terjadi hakisan serta paip pecah, kata pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor.

Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 7.37 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian pada 8.06 pagi.

“Setibanya di lokasi kejadian, anggota telah membuat pemantauan dan mendapati berlaku hakisan bawah tanah sehingga terdapat pergerakan serta mengakibatkan paip pecah.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada projek membaiki tebing lereng bukit di kawasan tersebut,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah Norazam, laporan telah dihantar kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Jabatan Kerja Raya untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika melalui kawasan tersebut,” katanya.

Runtuhan sepanjang 20 meter tersebut menyebabkan jalan tersebut terpaksa ditutup satu lorong dan ditutup bagi kenderaan berat di laluan Seksyen 5.00.  Kenderaan berat boleh melalui Laluan B19 Jalan Sungai Lui untuk ke Semenyih, Sungai Lalang dan Jelebu.

Sementara itu, Air Selangor memberitahu, paip pecah tersebut siap dibaiki pada jam 11 malam.

 


Pengarang :