Pekerja kontraktor membuat persiapan Pameran Penerbangan Antarabangsa (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Serantau Skypark, Subang pada 23 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Persiapan Pameran Udara Selangor 2021 lancar, capai 80 peratus

SUBANG, 24 NOV: Persiapan penganjuran Pameran Udara Selangor 2021 (SAS) 2021 mencapai 80 peratus sejak dimulakan kira-kira dua minggu lalu.

Ketua pegawai eksekutif Invest Selangor Bhd berkata persediaan itu meliputi pemasangan khemah untuk menempatkan gerai pempamer dan ruang pesawat.

Dato’ Hasan Azhari Idris memaklumkan persiapan rapi dibuat bagi memastikan program julung kali yang bermula esok berjalan lancar seperti dijadualkan.

“Alhamdulillah, persiapan berjalan dengan baik dan berharap berlangsung meriah melalui pembabitan pemain industri serta masyarakat umum,” katanya ketika ditemui di Pusat Penerbangan Serantau Skypark di sini semalam.

Beliau berkata pameran bertemakan Selangor, hab penerbangan awam dan perniagaan ASEAN menampilkan 43 pempamer tempatan dan antarabangsa dari Turki, Switzerland, Amerika Syarikat, Perancis dan Brazil.

Menurutnya, sebanyak 15 pesawat turut dipamerkan sepanjang tiga hari program meliputi jet persendirian, helikopter dan pesawat ringan.

“Pengisian lain antaranya seminar, dialog, perkongsian idea bersama pemain industri penerbangan selain aktiviti untuk pelajar,” katanya.

Dihoskan Kerajaan Selangor melalui agensi penggalak pelaburan negeri, SAS 2021 mendapat sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO).

Pada 30 Oktober tahun lalu, Dato’ Menteri Besar berkata SAS 2021 menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan menyediakan platform kepada syarikat tempatan serta usahawan industri kecil dan sederhana meneroka bidang itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan inisiatif itu seiring sasaran Selangor sebagai pemain utama aeroangkasa menjelang 2030.


Pengarang :