AGENDANASIONAL

Peruntuk RM2 juta laksana Data Raya Selangor, sokong aspirasi negeri pintar

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan bernilai RM2 juta bagi membangunkan Data Raya Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan penyampaian perkhidmatan, penjanaan dan perkongsian data raya secara masa nyata.

“Ini menjadi antara asas sebuah negeri pintar selaras merealisasikan aspirasi Selangor sebagai negeri pintar unggul di rantau Asia Tenggara menjelang 2025.

“Usaha ini akan membolehkan kerajaan menggubal dasar lebih tepat dengan cara yang lebih efisien dan tersusun,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan dana berjumlah RM1 juta disediakan bagi penubuhan Unit Keselamatan Siber Selangor supaya keselamatan data terjamin.

Katanya inisiatif dengan kerjasama pakar keselamatan teknologi akan menilai tahap keselamatan dan penetapan beberapa garis panduan data harus dipatuhi agensi bawah program Smart Selangor.

Bagi menjamin keselamatan awam, Amirudin berkata sebanyak 200 unit kamera litar tertutup (CCTV) pintar ditambah melalui inisiatif Smart Selangor dengan peruntukan RM5 juta.

Menurut beliau, sebanyak 414 unit CCTV sedia ada dan sedang beroperasi menerusi inisiatif berkenaan setakat ini di Pusat Operasi Smart Selangor (SSOC) ibu pejabat Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Kerajaan Negeri menganggarkan 2,000 unit CCTV akan dipasang dan beroperasi secara penuh menjelang 2025 selaras matlamat Selangor sebagai negeri pintar unggul serantau,” katanya.


Pengarang :