Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika pembentangan Belanjawan #Selangor2022 di Dewan Negeri Selangor pada 26 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Peruntukan RM316 juta percepat realisasi visi Selangor pintar unggul

SHAH ALAM, 26 NOV: Peruntukan RM316 juta disediakan tahun depan bagi merealisasikan visi Selangor sebagai negeri pintar unggul menjelang 2025.

Dato’ Menteri Besar berkata, agenda Smart Selangor dan pelan pendigitalan menjadikan negeri ini cekap dan pantas ketika berhadapan cabaran pandemik Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Selangor menjadi negeri paling hadapan melancarkan inisiatif berasaskan digital antaranya Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), PLATS dan e-Bazar.

“Inisiatif e-Bazar misalnya berjaya membantu 211,928 usahawan e-dagang mencapai jualan sebanyak RM100.5 juta serta menjana RM1.57 bilion kesan riak terhadap ekonomi negeri,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, Pelan Tindakan Smart Selangor juga digariskan bagi mencapai sasaran negeri pintar pada 2025.

Katanya, berdasarkan laporan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), sebanyak 60 peratus daripada inisiatif direncana berjaya dibangunkan.

“Kita boleh berbangga sebuah pusat kawalan bersepadu atau Smart Selangor C5i Centre telah siap dan sedang beroperasi sepenuhnya di Dewan Jubli Perak.

“Pusat kawalan ini juga menjadi nadi menghubungkan data daripada Unit Pengurusan Bencana, polis, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa tempatan serta agensi lain,” katanya.


Pengarang :