EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud menyampaikan ucapan dalam pelancaran program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (Imunisel) mereka di Dataran Puchong Permai, Puchong pada 4 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pesakit taun sembuh, JKNS tetap bersedia jika ada jangkitan baharu

SHAH ALAM, 15 NOV: Warga tempatan yang dijangkiti taun atau kolera di Petaling bulan lalu sudah sembuh, menurut EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menjalankan usaha mencari punca jangkitan melibatkan semua kontak penyedia makanan namun belum menemui punca sebenar.

“Kes dikesan 21 Oktober. Siasatan mendapati semua (penyedia makanan) bebas daripada kuman. Walaupun tak dapat kesan punca, JKNS tetap mengambil langkah bersedia sekiranya ada lagi kes ini.

“Peniaga makanan diminta lebih teliti menjaga kebersihan jualan. Orang awam yang mengalami cirit-birit, muntah dan loya diminta segera mendapatkan rawatan,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Siti Mariah turut mengingatkan masyarakat supaya mengamalkan kebersihan diri dan kerap mencuci tangan selain tidak makan makanan mentah atau tidak dimasak sempurna.

“Minum air yang dididihkan atau terawat. Jika ada simptom kolera terus dapatkan rawatan,” katanya.

Semalam Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi Twitter mengesahkan berlakunya jangkitan berkenaan.

Sebagai langkah pencegahan, JKNS meminta semua pengamal perubatan melaporkan kes wabak yang disahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) melalui sistem e-notifikasi dalam tempoh 24 jam.

Selain itu, mereka juga diminta mengambil sampel najis bagi ujian kultur dan sensitiviti bagi kes yang disyaki kolera.

Sementara itu, PKD turut diminta mempertingkatkan pemantauan ‘acute gastroenteritis’ (AGE) di semua klinik.


Pengarang :