Selangorkini
Guru memberi tunjuk ajar kepada kanak-kanak di taska
PENDAPAT RENCANA

Pilih pengasuh, taska bertauliah jamin keselamatan anak

Oleh Erda Khursyiah Basir & Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 Nov lepas yang mengekalkan hukuman penjara enam tahun terhadap bekas pengasuh Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, kembali mengingatkan masyarakat akan isu pengabaian dan penderaan bayi serta kanak-kanak oleh pengasuh mahupun taman asuhan kanak-kanak (taska) dan pusat jagaan.

Adam Rayqal, bayi berusia lima bulan, dilaporkan hilang dari rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves pada 3 Julai 2018, sebelum mayatnya ditemukan di dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah pengasuhnya itu pada lewat malam hari kejadian.

Pengasuhnya Noor Aqilah Abd Rahman, 36, yang kemudian dihadapkan ke mahkamah, bukan sahaja mengaku mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkan bayi malang itu mengalami kecederaan di bahagian kepala, malah turut mengaku bersalah melupuskan mayat Adam Rayqal dengan niat untuk menyembunyikan kematian supaya dia terlepas daripada hukuman.

Bagaikan tiada kesudahan

Ironinya, sekalipun insiden pengabaian dan penderaan bayi serta kanak-kanak termasuk yang meninggal dunia akibat kecuaian di rumah pengasuh ataupun taska dan pusat jagaan sentiasa dilaporkan oleh media, kejadian terus berlaku seolah-olah tiada keinsafan dalam kalangan mereka yang diberikan amanah itu.

Antara yang terbaharu ialah pada 13 Okt lepas, seorang wanita warga Singapura yang videonya tular di media sosial kerana mengasari seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia enam tahun di sebuah Pusat Intervensi Autisme, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak itu pada 1 Okt lepas.

Media sebelum ini melaporkan insiden terbongkar selepas bapa mangsa menemukan kesan lebam pada bahu kiri dan kedua-dua mata anaknya sewaktu mengambil mangsa di pusat jagaan.

Curiga akan perkara itu, dia kemudian menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan mendapati penjaga berkenaan bertindak kasar terhadap anaknya kerana mangsa enggan makan.

Sebelum itu, pada 6 Okt lepas, dua beradik dilaporkan didera dengan cara dipukul menggunakan rotan dan getah paip, disimbah dengan air panas selain dicucuh dengan puntung rokok, dipercayai perbuatan pengasuh, dalam kejadian di Iskandar Puteri, Johor.

Bernama pada 5 Okt lepas melaporkan seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan lebam pada muka, pipi, telinga kiri dan paha kiri selepas dihantar buat pertama kali ke rumah pengasuh di Taman Selayang Jaya, Selayang.

Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada paha kiri serta bahagian kiri muka dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Selayang.

Itu belum lagi disentuh isu kecuaian pengasuh yang mengakibatkan kes seperti tersedak susu, tercekik makanan, terlilit tali buaian atau lemas di dalam besen mandi dan pelbagai lagi.

Bagi seorang guru, Ramisah (bukan nama sebenar), 42, naluri keibuannya tersentuh setiap kali membaca laporan berita seperti itu kerana mengingatkannya kepada insiden yang berlaku terhadap anak lelakinya yang kini berusia tiga tahun, pada tahun lepas.

“Kejadian umpama mimpi ngeri buat saya apabila mendapat panggilan daripada pengasuh memberitahu anak jatuh tangga dan dikejarkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri. Anak saya ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut selama lima hari, syukur Alhamdulillah tiada kecederaan serius berlaku.

“Pengasuh memberitahu anak saya cuba menaiki tangga dan terjatuh. Saya bagaimanapun berasakan ada sesuatu yang tidak kena dan mendesak pengasuh menceritakan kejadian sebenar. Pengasuh akhirnya mengaku dia sebenarnya sedang mop lantai dan anak terjatuh disebabkan lantai yang licin,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Tiada pengalaman

Berkongsi lanjut, Ramisah berkata mengambil iktibar daripada insiden itu, dia tidak lagi menghantar anaknya kepada pengasuh di rumah, sebaliknya memilih taska berdaftar sebagai tempat penjagaan anaknya apabila dia keluar bekerja.

Ditanya sebab dia memilih pengasuh di rumah, wanita itu berkata faktor lokasi yang dekat dengan rumahnya selain berpengalaman selama 10 tahun menjaga kanak-kanak dan kos lebih murah berbanding taska berdaftar antara punca dia meninggalkan anaknya di bawah jagaan pengasuh tersebut.

“Saya juga sebenarnya agak tergesa-gesa membuat keputusan memilih pengasuh kerana memikirkan faktor perlu kembali bertugas selepas habis tempoh berpantang. Tambahan pula saya tidak mempunyai pengalaman sebelum ini kerana ini anak pertama kami,” katanya.

Sementara itu, tidak menolak kebanyakan kes berlaku disebabkan pengasuh tiada kemahiran dalam penjagaan bayi dan kanak-kanak, Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia Anisa Ahmad berkata kejadian seumpama lazimnya dikaitkan dengan mereka yang tidak berdaftar.

Menurutnya, semua individu berkenaan, sama ada pengusaha, penyelia, pengasuh taska atau pendidik awal kanak-kanak ataupun pengasuh di rumah, wajib mengambil Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (Kursus Asuhan Permata (KAP)) di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta lulus ujian amali dan bertulis.

“Sijil KAP menjadi ‘lesen’ untuk mereka berdaftar sebagai pengasuh sah dengan JKM melalui taska, selain wajib mengikuti semua tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan semasa mengasuh dan menjaga kanak-kanak baik, di taska institusi, taska tempat kerja, taska komuniti ataupun taska di rumah.

“Bagi pengasuh, terutama suri rumah yang menjaga lebih daripada empat orang kanak-kanak pula, mereka perlu berdaftar dengan JKM sebagai taska di rumah, berdasarkan peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 (Akta 308),” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kekangan kewangan

Mereka yang tidak berdaftar boleh dikenakan hukuman mengikut Akta 308, Peraturan-Peraturan Taska (Pengkompaunan Kesalahan) 2011, Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012 yang membawa hukuman denda hingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di bawah Seksyen 30 hingga 32, Akta Kanak-Kanak 2001 pula, individu yang memelihara kanak-kanak dan menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu kepada bahaya atau bertindak cuai yang menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal, emosi atau seks boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Mengulas lanjut, Anisa berkata antara kriteria lain yang perlu ada pada pengasuh berdaftar ialah mereka mesti mempunyai pengalaman mengasuh sama ada anak sendiri, anak saudara-mara ataupun anak orang lain serta sifat keibuan yang tinggi dan menyayangi kanak-kanak.

Mereka juga diwajibkan mengikuti kursus pertolongan cemas dan penyediaan makanan serta wajib mendapatkan suntikan vaksin seperti pelalian anti-tifoid dan terbaharu mesti lengkap dua dos vaksin Covid-19.

“Antara SOP yang perlu diikuti ialah setiap pengasuh wajib menyediakan buku log untuk setiap kanak-kanak bawah asuhan mereka sebagai rekod aktiviti harian bagi tujuan pemantauan dan rujukan ibu bapa, mempamerkan Sijil Perakuan Pendaftaran Taska yang dikeluarkan oleh Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri (PKMN) di premis atau di rumah serta pemantauan dari masa ke masa oleh pihak penguat kuasa JKM.

“Mengikut nisbah, seorang pengasuh boleh menjaga maksimum tiga bayi berusia setahun ke bawah, seorang pengasuh untuk lima kanak-kanak (1:5) berusia satu hingga tiga tahun dan seorang pengasuh untuk 10 orang kanak-kanak (1:10) berusia tiga hingga empat tahun,” katanya.

Turut mengaitkan faktor yuran taska berdaftar yang agak tinggi menyebabkan ramai ibu bapa memilih untuk meletakkan anak-anak mereka di rumah pengasuh atau taska atau pusat jagaan tidak berdaftar, perkara itu kata Anisa memerlukan perhatian pihak berwajib agar isu berkenaan tidak terus memberi tekanan kepada ibu bapa dan seterusnya membawa permasalahan yang lebih besar.

“Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka.

“Namun bukan semua orang mampu menghantar anak-anak ke taska berdaftar yang menawarkan perkhidmatan yang baik dan teratur, jadi terpaksa meletakkan anak-anak di bawah jagaan pengasuh tidak bertauliah dan tidak berdaftar demi meneruskan kelangsungan hidup mencari rezeki,” katanya, menambah terdapat juga taska yang mengenakan yuran terlalu murah sehinggakan dilihat tidak wajar kerana dikhuatiri ‘lepas tangan’ jika berlaku kejadian tidak diingini.

Ketua pengasuh taska, Nazatul Nadia Mustakim, 27 melakukan aktiviti bersama anak taska ketika Pelancaran Taska Anak Petugas Barisan Hadapan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 18 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Tip mencari pengasuh

Anisa pada masa sama menasihati ibu bapa agar tidak mempercayai iklan di media sosial dalam mencari pengasuh untuk anak-anak mereka, sebaliknya pergi sendiri ke rumah pengasuh atau taska untuk lebih mengenali latar belakang pengasuh dan melihat cara asuhan mereka.

“Pastikan pengasuh atau taska berdaftar dengan JKM serta mempamerkan Sijil Perakuan Pendaftaran Taska yang dikeluarkan oleh PKMN kerana kebanyakan mereka terlatih, selain ibu bapa juga boleh menyalurkan sebarang cadangan ataupun aduan kepada JKM secara terus.

“Semasa berjumpa dengan pengasuh, ibu bapa hendaklah menyelidik asal-usul dan sejarah pengasuh dengan menemu bual mereka ataupun bertanyakan pelbagai soalan bagi menguji pengetahuan dan pengalaman mereka.

“Jika jawapan yang diberi meyakinkan dan persekitaran rumah pengasuh ataupun taska memuaskan, barulah anak-anak boleh dihantar ke pengasuh atau taska berkenaan,” katanya, menambah tindakan mencari pengasuh pada saat-saat akhir perlu dielakkan.

Untuk rekod, Seksyen 2 Akta 308 menyatakan “taman asuhan kanak-kanak” ertinya mana-mana premis yang menerima masuk empat orang atau lebih kanak-kanak di bawah umur empat tahun, lebih daripada satu isi rumah untuk dijaga dengan upah.

Sementara itu, Seksyen 2 Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) “jagaan” termasuk perlindungan, pengawasan, pemulihan dan latihan, manakala “pusat jagaan” pula bermaksud pusat jagaan berkediaman dan pusat jagaan harian.

Pusat jagaan berkediaman merujuk kepada premis yang menerima empat orang atau lebih untuk jagaan sebagai penghuni di dalamnya, sama ada menerima upah atau selainnya, manakala pusat jagaan harian pula adalah premis yang menerima empat orang atau lebih untuk jagaan selama tempoh yang berterusan melebihi tiga jam sehari, sekurang-kurangnya tiga hari seminggu, sama ada menerima upah atau tidak.

-BERNAMA


Pengarang :