Pengurus Besar State Stakeholders Affairs Selangor/Kuala Lumpur/Putrajaya/Cyberjaya, Bahagian Regulatory and Stakeholder Management Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ir Ahmad Rezahan Mohammad (dua, kiri) menyampaikan replika kunci rumah kepada penerima, Mohd Ali Lajis (tiga, kanan) pada Majlis Penyerahan Sumbangan Program Better Brighter Home @ Projek Baiti Jannati TNB Peringkat Negeri Selangor dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Tahun 2020 & 2021 di Ibu Pejabat PKNS pada 9 Nov 2021. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

PKNS, TNB teruskan kerjasama bantu asnaf miliki rumah

SHAH ALAM, 9 NOV: Seramai 18 keluarga asnaf kini memiliki rumah yang lebih selesa hasil kerjasama strategik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersama Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui program ‘Better Brighter Home @ Projek Baiti Jannati TNB Peringkat Selangor’.

Program itu dilaksanakan dengan setiap asnaf menerima rumah serta diberikan perabot asas rumah seperti almari pakaian, meja makan dan mesin basuh menggunakan peruntukan wang zakat TNB dan PKNS yang juga mendapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi mengenal pasti golongan asnaf yang layak.

Ketua Pegawai Korporat PKNS Idris Ishak berkata 13 penerima dapat melunaskan baki bayaran perumahan mereka manakala lima lagi menerima unit rumah baharu di Pangsapuri Kuang Raya milik PKNS, melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan zakat untuk inisiatif itu sepanjang 2020 dan 2021 sebanyak RM2.5 juta.

“Ini adalah komitmen kami (PKNS dan TNB) selama tiga tahun sejak 2019 dan kami akan teruskan dan jadikan satu program tahunan kami, selagi mampu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan kepada penerima di Dewan Aster, Bangunan Ibu Pejabat PKNS hari ini.

Idris turut berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti itu perlu penglibatan pihak korporat yang lain supaya sama-sama dapat membantu menyediakan perumahan kepada golongan asnaf.

Pengurus Besar State Stakeholders Affairs Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Cyberjaya, Bahagian Regulatory & Stakeholder Management TNB, Ir Ahmad Rezahan Mohammad berkata kerjasama tersebut diteruskan buat tahun ketiga susulan maklum balas yang sangat baik daripada semua pihak khususnya dalam usaha membantu menangani masalah kemiskinan di bandar.

“Program ini juga berjalan sepanjang tahun lepas tetapi akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara, kami terpaksa menangguhkan majlis penyerahan kepada tahun ini dan alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar hasil usaha sama bersama PKNS,” katanya yang turut berharap kerjasama murni itu akan tetap diteruskan untuk tahun-tahun mendatang.

-BERNAMA


Pengarang :