Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Perhimpunan Penjawat Awam di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 8 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKP bukan halangan negeri kekal destinasi pelaburan pilihan

SHAH ALAM, 16 NOV: Selangor terus kekal dan teguh sebagai destinasi pelaburan serta gedung ekonomi negara meskipun hampir lima bulan dihimpit Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia terbukti apabila negeri mencatat kutipan hasil memberangsangkan melalui strategi pendigitalan dan komitmen penjawat awam.

“Alhamdulillah Selangor berjaya mencatat kutipan hasil memberangsangkan. Selangor terus kekal dan teguh sebagai destinasi pelaburan dan gedung ekonomi negara,” katanya di Facebook hari ini.

Pada 8 November, Amirudin berkata Selangor boleh mencapai sasaran kutipan hasil RM2.2 bilion
pada tahun ini di sebalik pelbagai cabaran.

Beliau berkata jumlah kutipan hasil mencecah 95 peratus setakat 7 November dan masih ada tempoh lagi sehingga penghujung tahun ini.

“Mengikut rekod mungkin paling kurang RM2.1 bilion namun kita ada peluang capai sasaran seperti tahun lalu yang mencatat lebihan iaitu RM2.23 bilion,” katanya.

Amirudin berkata hasil kutipan itu akan membolehkan Kerajaan Negeri membelanjakan dana untuk rakyat terutama membabitkan proses pemulihan susulan dampak Covid-19.


Pengarang :