Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Maju Bersama HARAPAN di Melaka pada 10 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PN, BN bercelaru, Anwar ajak pengundi sokong HARAPAN

SHAH ALAM, 19 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) ditampilkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuktikan kekuatan dan kesepaduan semua parti gabungan, kata pengerusinya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesefahaman itu tidak ada pada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang sehingga kini masih bertelagah sesama sendiri.

“Bayangkan macam mana mereka nak perintah (negara), mereka tak tahu siapa nakhoda dan pelayar.

“Oleh demikian beri kesempatan kita (HARAPAN) pulihkan kekuatan dan kestabilan di Melaka selain memperjuangkan semangat rakyat dan membela,” katanya berucap pada ceramah perdana PRN Melaka secara dalam talian malam ini.

Ketua pembangkang itu turut menggesa pengundi yang tinggal di luar Melaka pulang mengundi demi kepentingan masa depan.

“Jangan gadaikan masa depan kita hanya disebabkan kita resah dengan satu dua perkara remeh.

“Kita mesti jaga kepentingan kita. Ini masa rakyat. Saya mohon datang mengundi, pilih calon yang perjuangkan nasib kita, hentikan sifat gelojoh tamak haloba,” katanya.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Susulan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai tarikh mengundi.


Pengarang :