Dato’ Seri Amirudin Shari (depan, dua kiri) bergambar bersama selepas Majlis Perasmian Inisiatif Selangor Freelance anjuran Permodalan Nasional Selangor Berhad di Wyndham Acmar Hotel, Klang pada 28 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PNSB: Hampir 2,000 daftar, mahu sertai Selangor Freelance

SHAH ALAM, 20 NOV: Program Selangor Freelance mencatat jumlah pra-pendaftaran seramai 1,450 orang sejak dilancarkan pada 28 Oktober lalu.

Bahagian Perhubungan Awam Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) memaklumkan sambutan menggalakkan dan jumlah pendaftaran meningkat setiap hari.

“Kebanyakan pemohon berusia 18 tahun ke atas dan terdiri dalam kalangan yang mencari pekerjaan atau yang ingin memulakan kerjaya sebagai pekerja bebas.

“Kita mengalu-alukan golongan belia terutamanya untuk menyertai Selangor Freelance dan mereka berpeluang menikmati insentif tunai sebanyak RM400,” maklum PNSB.

Program berkenaan menawarkan 5,000 peluang latihan untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran pekerjaan di samping membantu perkasa ekonomi sampingan digital.

Peserta akan dilatih untuk memanfaatkan kerja sebagai pekerja bebas serta cara menggunakan platform Workana selama dua hari.

Individu yang sudah bekerja atau belum boleh membuat permohonan melalui http://selangor.workana.com.

Pada 20 Januari, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif Selangor Freelance bakal mencipta lebih 1,000 peluang pekerjaan dan membantu golongan terjejas berikutan pandemik Covid-19.

Beliau memaklumkan pelaksanaan inisiatif berkenaan disegerakan bagi menyerap hentakan ekonomi dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Selangor Freelance disenaraikan bawah program pendigitalan dalam Belanjawan Negeri 2021 dengan perbelanjaan RM369 juta melalui dana negeri dan anak syarikat (GLC).

 


Pengarang :