Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika persidangan meja bulat bersama Dewan Perdagangan British Malaysia di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada 9 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

POIS bantu lebih 1,200 syarikat, IPT kawal penularan wabak

PETALING JAYA, 10 NOV: Sekitar 113,000 pekerja daripada lebih 1,200 syarikat dan kilang dalam pelbagai sektor menyertai Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif negeri bagi membendung penularan wabak di tempat kerja turut disertai institusi pengajian tinggi (IPT).

“POIS turut diaplikasikan di 53 IPT melibatkan lebih 73,000 individu termasuk pelajar,” katanya pada persidangan meja bulat bersama Dewan Perdagangan British Malaysia di Hotel Sheraton di sini semalam.

POIS dilancarkan pada 6 Januari bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja dengan majikan berdaftar perlu menubuhkan jawatankuasa untuk mengenal pasti lokasi dan aktiviti berisiko tinggi.

Jawatankuasa itu akan merangka pelan tindakan kecemasan, mengurangkan kontak luar dan memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) pula merekod pergerakan keluar masuk pekerja dan memantau komponen POIS serta menganalisis risiko bagi menyelaras kekerapan saringan.

Dimulakan pada 1 Februari, beberapa syarikat di negeri ini menyertai POIS, termasuk kilang di luar Selangor antaranya Celestica Malaysia di Johor dan Kedah.


Pengarang :