Pasukan forensik memeriksa lokasi kejadian kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Caves pada 17 November 2021. Foto Twitter Bernama
SELANGOR

Polis tahan ibu saudara kanak-kanak maut jatuh tingkat 16 kondominium

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Polis menahan ibu saudara kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium di Selayang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata wanita berumur 36 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan.

Beliau berkata suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dengan dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (5b) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu dengan cuai menyebabkan kematian kepada kanak-kanak.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang hari ini bagi tujuan permohonan reman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal Mohamed berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Nizar Adnan di talian 03-61262222/013-9961892.

Semalam, kejadian tragis itu berlaku pada kira-kira 10.30 pagi, apabila ibu saudaranya sedar mengenai kehilangan anak saudaranya itu, selepas didapati tiada di dalam biliknya.

– BERNAMA


Pengarang :