Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berbahas mengenai RMK12 pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 29 Sept 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Potong dana Jabatan Audit Negara, kerajaan tidak serius bendung ketirisan

SHAH ALAM, 11 NOV: Ahli Parlimen Pandan mempersoal pemotongan dana berjumlah RM4 juta kepada Jabatan Audit Negara yang dibimbangi akan menjejaskan pemantauan perbelanjaan kerajaan.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tindakan itu memberi mesej salah sama ada kerajaan serius mengatasi isu ketirisan yang baru-baru ini dilaporkan membabitkan kehilangan peruntukan RM620 juta.

Jelasnya dana sebesar itu mampu menampung pelbagai perbelanjaan seperti projek tebatan banjir yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Sepatutnya kita perlu perkasakan pemantauan oleh Jabatan Audit Negara untuk menyemak perbelanjaan di setiap kementerian tetapi kenapa tahun ini peruntukan dipotong RM4 juta.

“Sekarang ini bukan sahaja pendapatan negara menguncup tetapi hutang pun dijangka mencecah RM1 trilion, jadi kita perlu pastikan setiap wang kita ada tidak diseleweng,” katanya pada sesi perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga mempersoalkan mengapa peruntukan lebih besar dicadang kepada Kementerian Pertahanan berbanding Kementerian Kesihatan (KKM) yang lebih memerlukan ketika berdepan penularan Covid-19.

“Apakah kita hendak beli kereta kebal untuk lawan Covid-19? Saya minta menteri kewangan untuk semak semula dan beri fokus kepada KKM.

“Masa kita sakit baru kita tahu, ketika sihat kita bersyukur…janganlah potong peruntukan kepada KKM,” katanya.


Pengarang :