Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya Zulfarah Hazwani Zulkefli membuat persiapan dengan melekatkan QR kod Mysejahtera dan menyediakan cecair pembasmi kuman sebagai persediaan menjelang hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Kasturi Japerun pada 7 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PRN Melaka: 217 pusat mengundi dibuka esok

MELAKA, 19 NOV: Sebanyak 217 pusat mengundi membabitkan 1,109 saluran akan dibuka esok bagi membolehkan 476,037 pengundi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata semua pihak yang bertanding juga diingatkan tempoh rasmi berkempen akan tamat pada 11.59 malam ini dan selepas tempoh berakhir, sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi hendaklah dihentikan.

“Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

“SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung semasa hari mengundi. Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan ini akan diambil tindakan undang-undang,” katanya.

Semua pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang. Namun demikian, pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir,” katanya.

Ikmalrudin berkata majikan juga diingatkan supaya membenarkan pekerja yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi dan mana-mana majikan yang tidak membenarkannya boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan.

Selain itu, semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, melakukan saringan suhu badan, menggunakan pensanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal pada hari pengundian.

Beliau berkata bagi pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau pegawai kesihatan.

“Pengundi berkenaan akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut manakala individu yang diletak di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (PUS) dan individu yang bergejala yang sedang dalam rawatan (PUI) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah, untuk keluar sementara ke Pusat Mengundi,” katanya.

Bagi kelancaran proses pengundian, SPR mengingatkan semua pihak khususnya pengundi, calon dan petugas supaya tidak memakai baju, topi, pelitup separuh atau membawa material yang mempunyai nama, simbol, gambar parti atau calon yang bertanding atau bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen ke pusat mengundi.

Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi boleh dihalang dari memasuki pusat mengundi dan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya berbuat demikian.

Ikmalrudin berkata bagi kelancaran proses pengundian, SPR telah menjalankan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya bagi memastikan semua peralatan lengkap dan berada dalam keadaan baik.

Peralatan berkenaan diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap saluran mengundi.

– BERNAMA


Pengarang :