Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama calon Pakatan Harapan DUN Tanjung Bidara Zainal Hassan mendengar keluhan para nelayan di Pengkalan Nelayan Sungai Kertah, Masjid Tanah, Melaka pada 14 November 2021. Foto FACEBOOK AMIRUDIN SHARI
AGENDA NASIONAL

PRN Melaka: HARAPAN Selangor terus bantu calon ikut ketetapan

BANDAR HILIR, 15 NOV: Larangan berkempen secara fizikal sepanjang tempoh pilihan raya negeri (PRN) Melaka tidak menghalang pergerakan jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor, kata pengerusinya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jentera parti bergerak seperti lazimnya dengan kos yang jimat dan murah namun mampu meningkatkan profesionalisme sehingga tiba hari pengundian.

“Cuma ini pengalaman pertama calon tidak dibenarkan bersemuka begitu banyak berbanding sebelum ini. Mungkin kita perlu menggalakkan mengumpul data dan menggunakannya sebaik mungkin untuk mendapatkan sokongan dalam pilihan raya akan datang,” katanya semalam.

Beliau berkata selepas meluangkan masa lebih 40 minit di sekitar Jonker Walk dalam program lawatan turun padang bagi membantu persiapan calon HARAPAN.

Amirudin yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor memaklumkan akan mengadakan satu lagi sesi lawatan sebelum hari pengundian pada 20 November.

“Ini bertujuan untuk mendapatkan maklum balas akhir untuk mengukuhkan peranan jentera yang telah berkampung lebih dua minggu sebelum penamaan calon lagi,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November.

Ia susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap ketua menteri.

Melaka yang mempunyai 28 DUN memiliki seramai 495,195 pengundi berdaftar.


Pengarang :