Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali bercakap pada sidang media berkenaan OP Pilihan Raya Negeri Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka pada 7 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PRN Melaka: Polis beri amaran bertindak tegas pihak cetus provokasi

MELAKA, 19 NOV: Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba menimbulkan provokasi melampau sehingga boleh menganggu gugat ketenteramaan awam dan keselamatan negeri sepanjang proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata pihaknya memberi jaminan keadaan keselamatan terkawal untuk masyarakat serta pengundi menunaikan tanggungjawab.

“Kita telah menggerakkan semua elemen yang ada dalam kontinjen negeri selain mendapat bantuan sumber manusia yang merangkumi kekuatan elemen daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk mengatur gerak menghadapi segala kemungkinan ancaman keselamatan dan ketenteraman awam.

“Polis juga akan memastikan proses pengundian yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermula 8 pagi hingga 5.30 petang bagi membentuk kerajaan yang mendapat mandat itu berjalan lancar dan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Majid berkata semua pengundi yang layak diminta menjalankan hak dan tanggungjawab mereka tanpa perlu khuatir terhadap keselamatan diri.

Beliau berkata rakyat di negeri itu juga dinasihatkan supaya menerima keputusan pilihan raya itu dengan penuh kematangan dan hati terbuka.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

– BERNAMA


Pengarang :