Para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya melakukan simulasi sehari sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri Melaka di Dewan Besar Kolej Komuniti Selandar pada 7 Novermber lalu. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PRN Melaka: Sekatan ceramah, kempen fizikal dibimbangi jejas demokrasi

SHAH ALAM, 11 NOV: Sekatan terhadap aktiviti ceramah atau kempen secara fizikal sepanjang tempoh pilihan raya negeri (PRN) Melaka dibimbangi akan menjejaskan kesuburan amalan demokrasi.

Pengerusi eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE) berkata kekangan yang disifatkan sebagai norma baharu dalam pilihan raya itu menyebabkan parti politik sukar menyampaikan dasar dan agenda kepada rakyat.

Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman juga mengakui suasana pilihan raya negeri itu agak janggal berikutan sekatan dikenakan yang tidak memungkinkan demokrasi diamalkan secara meluas sebagaimana diamalkan sebelum ini.

“Kita khuatir adakah dengan sekatan ini semangat demokrasi akan terlaksana? Semua parti politik bertanding sama ada kerajaan, pembangkang atau bebas sepatutnya diberi peluang untuk menyuarakan dasar yang hendak ditawarkan kepada rakyat.

“Kalau ruang itu disempitkan dan tidak terbuka, di mana sebenarnya amalan demokrasi yang disebut-sebut ? Ia satu perkara yang sukar difahami kerana alasannya dikhuatiri boleh membawa kepada perkembangan pernah dicetuskan PRN Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara PRN Melaka: Suatu Analisis Awal yang disiarkan secara langsung melalui Facebook IDE semalam.

Dr Mohammad Redzuan berkata keputusan PRN Melaka pada 20 November ini bakal menentukan masa depan negeri bersejarah itu untuk tempoh lima tahun.

“Sudah pasti dengan keadaan (politik) tak menentu pada masa ini sukar untuk tentukan siapa yang akan dapat manfaat daripada pendekatan sedemikian.

“…sekatan yang tak memungkinkan berkempen dan melakukan lawatan dari rumah ke rumah, (jadi) apa bentuk wahana untuk sampaikan maklumat ? yang ada ialah media arus perdana dan media sosial, tetapi sejauh mana pendekatan ini berkesan,” katanya.

Pada 8 November, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka diadakan sepanjang tempoh PRN Melaka.

SPR menetapkan hari mengundi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap ketua menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN, memiliki seramai 495,195 pengundi berdaftar.


Pengarang :